KUCHING: Lundu dan Sematan berpotensi dibangunkan menjadi sebuah kawasan pelancongan sempadan atau border tourism di negeri ini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting berkata, sempadan Biawak-Aruk dan Telok-Temajuk merupakan pintu masuk keluar pelancong asing terutamanya dari Kalimantan, Indonesia.

Jelasnya, kerajaan negeri sedang dan akan terus melibatkan komuniti tempatan dalam usaha membangunkan sektor  pelancongan di Sarawak khususnya di kawasan Lundu dan Sematan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dalam Persidangan DUN Sarawak ke-18, hari ini.

Tambahnya lagi, kawasan  Lundu dan Sematan sememangnya terkenal dengan tarikan pelancongan seperti Taman Negara Tanjung Datu, Taman Negara Gunung Gading, Taman  Lindungan Hidupan Liar Samunsam dan juga pantai-pantai yang menarik seperti Pantai Pugu, Pantai Siar, Pantai Sematan mahupun pulau-pulau seperti Pulau Satang dan Pulau Talang-Talang.