KUCHING:  Adun Be Kelalan Baru Bian yang juga menteri Kerja Raya tidak puas hati dengan penggunaan ungkapan ‘Jangan takut bos di Kerajaan Pusat’ dalam Dewan Undangan Negeri semalam.

Susulan penggunaan perkataan itu oleh Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi, Baru bangkit dan memohon penjelasan, dan meminta agar ungkapan itu ditarik balik.

Julaihi menjawab soalan Adun Tellian Yussibnosh Balo (GPS) pada Mesyuarat kedua Bagi Penggal keempat DUN Ke-18 di sini semalam.

Julaihi menjelaskan tiga projek jambatan yang diluluskan kerajaan BN sebelum PRU-14 adalah berlandaskan keperluan rakyat Sarawak.

“Sebagai wakil rakyat yang memegang jawatan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat sepatutnya mempertahankan keperluan rakyat Sarawak,” katanya menujukan kenyataan itu kepada Baru.

“Jangan risau dengan tekanan Kerajaan Pusat, itu yang saya maksudkan,” katanya.

“Pertahankan peruntukan yang telah diluluskan, tolong perjuangkan dana,” katanya lagi.

Baru, yang  tidak mahu mengalah dan belum berpuas hati berkata,  ia bukan bermakna mereka takut kepada bos, tetapi menjelaskan bukan semua projek diluluskan kerajaan terdahulu diluluskan KerajaanPH kerana mengambil kira keadaan kewangan ketika ini.

”Bukannya isu takut kepada bos,” tegas beliau.

Kata Baru,  pada sidang media di DUN semalam. kedudukan kewangan tidak mengizinkan menyebabkan projek pembinaan beberapa jambatan di laluan pesisir Sarawak tidak dapat dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian yang berkata demikian menambah, sebagai kerajaan bertanggungjawab mereka tidak mahu meneruskan amalan Barisan Nasional (BN) yang sekadar meluluskan projek.

Baru berkata sebagai kerajaan bertanggungjawab Kerajaan Persekutuan perlu berbelanja dengan betul kerana rakyat mengamanahkan mereka untuk menguruskan dana untuk semua.

Menurut Ahli Parlimen Selangau itu,  beliau sangat kecewa apabila dikatakan ‘takut dengan bos’.

“Kami tak takut dengan bos. Sebagai anggota kabinet atau Ahli Parlimen, kami bincang sesuatu isu secara terbuka,,” jelasnya.