KUCHING: Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya memohon Kerajaan Sarawak agar mengkaji dengan serius penyambungan jalan Igan ke Kapit melalui  Sibu, dengan jarak yang perlu disambung sekitar 15 kilometer.

“Rakyat pesisir akan sampai Sibu dari Igan sekitar satu jam. Dan kemudian mungkin satu jam lagi mereka dapat sampai ke Kapit menemui YB Ketua Menteri Baleh untuk minum kopi dan makan pansuh,” katanya sambil berseloroh, merujuk kepada Tan Sri Dr James Jemut Masing, ketika membahasa Belanjawan Negeri 2020 di DUN, semalam.

Beliau juga memohon kerajaan mengkaji cadangan memberikan tanah lot perumahan untuk setiap pasangan yang tidak memiliki  tanah untuk membina rumah di luar bandar.

“Isu ini boleh menjadi masalah besar masa akan datang jika tidak ditangani segera. Bukan besar pun. Negeri kita banyak tanah. Bagi seorang dalam 20 poin pun sudah cukup besar untuk sebuah rumah di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Pembangunan Perumahan (HDC) sudah melakukan usaha yang terbaik, tetapi tanah milik HDC sukar untuk luaskan perumahan di luar bandar.

Sementara itu, beliau menyifatkan belanjawan negeri 2020 yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Isnin lalu sebagai  belanjawan yang benar-benar menjiwai isi hati rakyat Sarawak.