KUCHING: Sebanyak 139 projek Transformasi Luar Bandar (RTP)yang diluluskan dari tahun 2015 hingga September 2019 di Sarawak dikategorikan sebagai projek “sakit” .

Menurut  Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, jumlah itu hanyalah melibatkan dua peratus sahaja daripada 10,001 projek yang diluluskan dari tahun 2015 hingga September tahun ini.

Menurutnya bagi tahun 2019, daripada 2,641 projek yang  diluluskan, hanya 66 projek (2.5 peratus) yang dikategorikan sebagai Projek Sakit.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan  Mohamad Chee Kadir (GPS-Kabong) yang ingin tahu jumlah projek RTP yang dikategorikan sebagai “sakit” dan puncanya.

“Antara punca-punca projek sakit ialah pengurusan kontraktor yang lemah, masalah kewangan kontraktor, masalah tapak dan kesukaran membawa bahan binaan ke tapak projek,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak akan memastikan projek RTP disiapkan mengikut jadual,skop dan kos yang ditetapkan agar  rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Mengenai projek sakit di Kabong, Hasidah berkata, terdapat satu projek sakit di kawasan terbabit, iaitu projek menaik taraf Pusat Penjaja Simpang Nybor-Kabong.