KUCHING: Pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang terlibat dalam skim SALCRA perlu melalui beberapa proses.

Menteri Muda Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh berkata, proses tersebut melibatkan pengesahan maklumat-maklumat daripada pihak Salcra, pengukuran di lapangan, penerimaan rasmi tuntutan, pameran jadual tuntutan dan proses penyediaan surat hak milik tanah.

Katanya, proses pengeluaran surat hak milik tanah perlu dilakukan secara teliti kerana ia melibatkan indefeasibility of title di mana Jabatan Tanah Dan Survei bertanggungjawab untuk memastikan integriti setiap surat hak milik tanah yang dikeluarkan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Adun opar, Dato Ranum Mina, dalam Persidangan Dun Sarawak Ke-18, hari ini.

Dalam pada itu, Len Talif menambah, sebanyak 1,153 lot bagi kawasan skim Salcra sebako telah diukur di mana 702 daripadanya telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri, manakala baki 451 lot, pengeluaran surat hak milik tanah kini dalam proses untuk dimuktamadkan.

Jelasnya, bagi mempercepatkan urusan pengeluaran surat hak milik tanah di skim-skim SALCRA, Jabatan Tanah Dan Survei dan SALCRA telah mengenalpasti mekanisme bersesuaian untuk memastikan pengeluaran surat hak milik dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur.