BINTULU: Royal Brunei Airlines (RB) semalam melancarkan  destinasi penerbangan sulungnya ke Bintulu  yang dihubungkan terus dengan Bandar Seri Begawan melalui perkhidmatan RB Link yang menghubungkan negara itu dengan bandar-bandar di Borneo.

Destinasi sulung membabitkan laluan Bandar Seri Begawan – Bintulu itu tiba di Lapangan Terbang Bintulu tepat jam 8.25 malam menggunakan pesawat ATR 72-600 membawa seramai 30 penumpang terdiri daripada krew dan anak kapal  Royal Brunei termasuk media dari negara terbabit.

Turut menyertai rombongan tersebut adalah Naib Presiden Kanan Digital dan Pemasaran Royal Brunei, James Millet.

Ketibaan rombongan disambut Pegawai Daerah Bintulu, Muhammad Dino Amid, Pengurus Kanan Pembangunan Laluan Malaysia Airports Holdings Berhad, Zainuddin Mohamed, Haji Mohamad Ibrahim Nordin dan Haji Zolkipli Mohamad Aton mewakili Lembaga Pelancongan Sarawak.

James dalam ucapannya melahirkan rasa bangga kerana Royal Brunei menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama ke Bintulu.

Beliau berkata Bintulu sebagai bandar destinasi seterusnya dalam Fasa satu  inisiatif serantau RB Link menghubungkan bandar dan kota  di Kepulauan Borneo.

RB Link adalah perkhidmatan baharu ditawarkan syarikat penerbangan berpangkalan di Brunei itu yang dilancarkan pada Julai lalu yang menghubungkan negara berkenaan dengan bandar di Borneo menerusi kerjasama dengan Malindo Air.

Menurutnya lagi, Bintulu dan bandar jirannya akan menikmati manfaat daripada penentuan harga dan produk perkhidmatan lima bintang serta hubungan lancar melalui Brunei ke banyak pasaran antarabangsa seperti China, Jepun, United Kingdom dan Australia yang menawarkan peluang pelancongan dan eksport yang hebat.

Ini adalah satu lagi langkah penting dan menarik dalam matlamat kami untuk menjadikan perjalanan lebih mudah dalam Borneo dan seterusnya,kata James lagi.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Lembaga Pelancongan Sarawak, Benedict Jimbau dalam kenyataannya berkata pihaknya melihat ini sebagai perkongsian strategik dengan Royal Brunei dalam mempromosikan Sarawak dalam Kempen Melawat Sarawak.

Beliau yakin bahawa laluan baharu itu akan memberi peluang kepada pelancong dan pelawat untuk mengalami pelbagai  produk dan destinasi baharu dan pada masa yang sama akan membuka peluang kepada pelancong luar dari Bintulu dan komuniti perniagaan untuk memenuhi keperluan perjalanan mereka.