KUCHING: Peruntukan ‘Post-Natal Care’ RM450 kepada ibu bersalin seperti yang diumumkan Ketua Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2020 adalah berbentuk baucer bukannya tunai.

Perkara ini dijelaskan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Dan Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.

“Post-Natal Care’ RM450 ini tidak akan diberi dalam bentuk tunai sebaliknya ianya akan diberi dalam bentuk baucer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menerangkan lebih lanjut berkenaan dengan pengumuman ‘Post-Natal Care’ yang dibentang Ketua Menteri dalam Belanjawan 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.

‘Post-Natal Care’ ini akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2020.

Beliau turut menjelaskan, pemberian ‘Post-Natal Care’ itu dilakukan secara berperingkat dalam tempoh tiga bulan.

“Kita hadkan untuk setiap bulan RM150. Bulan berikutnya pula RM150 dan bulan ketiga ialah RM150,” tambahnya.

Sehingga kini pemberian ‘Post-Natal Care’ ini akan diberikan kepada semua golongan ibu yang lepas bersalin dengan syarat warganegara Malaysia berstatus ‘k’ Sarawak.