KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) kini sedang membina pencawang elektrik baharu di Serudit sebagai sumber tenaga utama bagi mengatasi masalah penyaluran bekalan elektrik di Daerah Betong dan kawasan sekitarnya seperti Engkilili, Spaoh dan Debak.

Menteri Muda Utiliti, Datuk Liwan Lagang berkata, pencawang baharu ini dijadual siap pada suku kedua 2020 dan mempunyai enam punca keluar untuk agihan bekalan elektrik ke Betong, Ulu Layar, Spaoh dan Debak.

Jelasnya, ia berbanding satu punca keluar sebelum ini di mana pencawang elektrik berkenaan merupakan punca bekalan yang utama bagi kawasan sekitar.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan dari ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam pada Persidangan DUN Sarawak ke-18, hari ini.

Liwan menambah, SEB juga sedang membina satu pencawang 33/11 kilovolt(kv) Di Jalan Jungkong, Betong dan apabila siap, bekalan elektrik di kawasan Pekan Betong akan dapat dipertingkatkan.

Jelasnya, pencawang elektrik di Jukong akan menjadi bekalan utama bagi kawasan Tanjung Assam dan MRSM.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan faktor gangguan luaran seperti cuaca dan kemalangan serta kerja-kerja pembinaan lebuhraya pan borneo merupakan punca gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku di kawasan berkenaan.