KUCHING: Kementerian Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi akan menghimpunkan pakar-pakar berkaitan institusi pendidikan dan kewangan di negeri ini dalam mencari mekanisme terbaik bagi membantu para graduan yang berdepan kesukaran membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Muda Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberi tempoh enam bulan kepada pihak kementerian bagi mencongak pendekatan komprehensif berhubung  perkara itu.

Jelasnya, dana RM30 juta yang disediakan kerajaan negeri dalam Belanjawan Sarawak 2020 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mendengar keluhan para graduan mengenai isu kekangan kewangan.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18, pada Selasa.

Sementara itu, Dr Annuar memberitahu, pihak kementerian juga akan mengadakan makmal bersama para penuntut institusi pengajian tinggi serta tenaga pengajar dalam memberi input mengenai inisiatif kerajaan negeri berhubung isu PTPTN.

Dalam pembentangan  Belanjawan Sarawak 2020 pada Isnin lepas, Ketua Menteri telah mengumumkan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu para graduan dari negeri ini yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman pendidikan atas sebab-sebab tertentu.