SELAYANG: Seorang pekerja kontrak yang videonya tular berhubung kejadian membunuh kucing bunting dalam pengering pakaian di sebuah dobi layan diri, dijatuhi hukuman 34 bulan penjara dan denda RM40,000 selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan penderitaan yang tidak sepatutnya ke atas haiwan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu dari tarikh jatuh hukum hari ini.

Rasyihah membuat keputusan itu terhadap K.Ganesh, 42, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tegas Rasyihah, hukuman itu setimpal sebagai pengajaran supaya masyarakat tidak melakukan perbuatan zalim terhadap haiwan.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam S. Muthuveeran bagaimanapun meminta mahkamah menetapkan hukuman penjara dengan alasan tertuduh tidak mampu membayar denda.

K.Ganesh, bekerja sebagai pekerja kontrak tidak tetap dan hanya memperoleh pendapatan RM20 jika mempunyai tugasan untuk dilaksanakan.

Muthuveeran dalam hujah pembelaanya turut menegaskan, anak guamnya turut mempunyai tanggungan seorang yang isteri tidak bekerja, anak yang masih kecil berusia setahun dan turut menjaga bapanya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 69 tahun.

Muthuveeran juga memohon penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu kes ini yang akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan, penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu beserta syarat jaminan RM12,000 yang ditambah kepada RM 20,000.

Permohonan rayuan itu perlu difailkan tertuduh sebelum 12 November ini.

Seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 3 April lalu.