KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya menyifatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) adalah cuma sebuah “Majlis Pecahbelah Kaum Keluarga” di Sarawak.

Beliau juga turut menyifatkan MPKKP menyalahi semangat yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mereka (PH) fikir JawatanKuasa Kemajuan dan Keselatan Kampung (JKKK) yang sedia ada wujud tanpa perundangan yang sah. MPKKP ini wujud bawah undang-undang apa? MPKKP ini menyalahi semangat MA63. Ini MAJLIS HARAM,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2020 pada persidangan DUN hari ini.

Di samping itu, beliau juga mempersoalkan tujuan penubuhan MPKKP yang dikatakan hanya mahu salurkan khidmat persekutuan kepada rakyat di negeri ini.

“Mereka lupa tugas JKKK bukan main-main. Contohnya Tuai Rumah dan Ketua Kampung bukan hanya uruskan rumah panjang dan orang kampung, mereka juga uruskan adat istiadat kaum, pengesahan perkahwinan, urusan kematian dan lain-lain,”

“Nanti apabila wujud MPKKK, adakah ia juga akan sahkan adat istiadat dan perkahwinan? Ini jelas sekali mahu pecah belahkan rakyat Sarawak,” katanya

Ujar beliau, kerajaan persekutuan seolah-olah lupa bahawa fungsi pejabat persekutuan di Sarawak haruslah melalui pejabat setiausaha Kerajaan Sarawak.