KUCHING: Bilangan pelajar positif urin terutamanya dari sekolah menengah di negeri ini mencatatkan penurunan berdasarkan laporan Jabatan Pendidikan Negeri setakat Oktober tahun ini.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, sebanyak 3,649 orang pelajar diuji daripada 182 buah sekolah menengah di Sarawak dan 274 pelajar didapati positif.

“Berbanding tahun 2018, sebanyak 2,967 orang pelajar yang diuji daripada 160 buah sekolah menengah dan 301 pelajar didapati positif,”

Tegasnya, keadaan ini menunjukkan bahawa intervensi yang dijalankn setakat ini sudah mula membuahkan hasil.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Idris Buang pada persidangan DUN hari ini.

Ujar beliau lagi, seorang Pegawai Khas Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) telah ditempatkan di setiap Pejabat Pendidikan Daerah bagi mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di sekolah.

Jelasnya, mereka bertanggungjawab membantu menyelaras program-program pendidikan pencegahan dadah di sekolah seliaan masing-masing.

“Untuk makluman, sekolah menengah di Sarawak juga menjalankan ujian air kencing untuk megenal pasti pelajar yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.”

“Pemeriksaan dijalankan dua kali setahun oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga telah membangunkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diluluskan pada 10 Januari 2019 bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah di Sarawak.

“Sejak SOP berkenaan diluluskan sehingga Oktober 2019, seramai 56 orang pengedar dadah yang dikesan mengedar dadah kepada pelajar sekolah telah berjaya diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316),” katanya.