KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu para graduan dari negeri ini yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik bagi membantu golongan graduan yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman pendidikan atas sebab-sebab tertentu.

Beliau berkata demikian semasa Pembentangan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18, semalam.

Ketua Menteri menambah, peruntukan RM30 juta itu menggambarkan keprihatinan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri dalam membantu graduan anak-anak Sarawak.