KUCHING: Kerajaan Sarawak yakin pembinaan kemudahan sukan dengan pelbagai prasarana di DUN Repok mampu membantu melahirkan ramai atlet berkualiti selain menggalak penglibatan masyarakat dalam aktiviti yang lebih sihat.

Sehubungan itu, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata, kira-kira RM14 juta diperuntukan bagi tujuan berkenaan melalui pembinaan pelbagai projek seperti padang bola sepak, gelanggang tenis, trek, dewan dan lain-lain.

Menurutnya, kos itu meliputi pampasan tanah, di samping pelbagai kemudahan sampingan termasuk tempat letak kereta, pagar dan sistem perparitan yang lebih teratur.

“Sementara itu, permohonan projek membina stadium tertutup bersepadu dengan taman, tapak rekreasi di Sarikei akan dimasukkan ke dalam senarai Rancangan Malaysia Ke 12 untuk dipertimbangkan.

“Pihak kementerian akan memantau dari semasa ke semasa berkenaan dengan projek ini, ” katanya ketika menjawab soalan ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Beliau menjelaskan, kementerian juga akan bekerjasama dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Tegas untuk melaksanakan program kesedaran eDagang di kawasan DUN Lingga melalui Inklusiviti Digital Roadshow yang dijadualkan berlangsung pada Disember 2019, di samping program ePhoto, eVideo dan Youtubing.

“Pada tahun depan, pihak kementerian merancang untuk melaksanakan beberapa program eDagang bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran usahawan tempatan khususnya usahawan belia,” katanya.

Sementara itu, dalam perbahasan Rang Undang-undang Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan), 2019, Huang berkata, keperihatinan masyarakat mengenai isu-isu alam semulajadi, Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, 1958 perlu diperhalusi.

Menurutnya, isu global seperti kitar semula dan penghapusan sisa-sisa bahan buangan semakin meningkat perlu diliputi rang undang-undang berkenaan.

“Peningkatan penalti jika disabit kesalahan di bawah rang undang-undang ini, daripada RM 1,000 dan RM 2,000 kepada RM 5,000 (dan RM 10,000 adalah amat sesuai. Sumber asli dan alam sekitar, penting kepada Sarawak dan merupakan salah satu sumber hasil pendapatan kita.

“Justeru, pengurusan yang sistematik dan berhemah amat mustahak supaya hasil negeri kita akan sentiasa kekal dan terpelihara. Adalah amat tepat masanya kita mempertingkatkan dan memantapkan pengurusan dan pentadbiran berkenaan Sumber Asli dan Alam Sekitar,” katanya.