KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan RM100 juta untuk JKKK menganjurkan aktiviti pada tahun depan.

Mengumumkan demikian dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2020 di DUN semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu untuk bayaran elaun untuk anggota JKKK.

“Pemberian peruntukan ini membuktikan Kerajaan Sarawak mengiktiraf peranan JKKK sebagai pemimpin akar umbi yang menjaga keselamatan dan kemakmuran kampung,” jelas beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi.

Katanya, ia sekali gus menyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan dalam komuniti setempat.

Untuk itu, beliau mahu JKKK memantapkan pengurusan sejajar dengan perubahan semasa, selain lebih proaktif melaksanakan altiviti untuk manfaat masyarakat.