KUCHING: Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih belum membayar cukai jualan produk petroleum sebanyak lima peratus kepada Kerajaan Sarawak setakat ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, Petronas wajib membayar cukai jualan produk petroleum dan kegagalan syarikat berkenaan berbuat demikian adalah sama seperti melanggar undang-undang.

Menurut beliau, dalam hal ini, Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan ‘Notice of Assessment’ kepada Petronas untuk membuat bayaran seperti yang termaktub dalam undang-undang Sarawak.

Ketua Menteri berkata demikian semasa Pembentangan Belanjawan Sarawak 2020 Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18, semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga 30 September lepas, Kerajaan Negeri telah mengutip hasil sebanyak RM5.653 bilion dan dijangka mengutip lebih banyak pendapatan menjelang akhir tahun ini.