KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk mengheret Petronas ke muka pengadilan sekiranya syarikat berkenaan masih liat untuk membayar cukai jualan minyak dan gas yang digali di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, Petronas secara sah dikehendaki membayar cukai jualan negeri.

“Setakat ini, hanya Petronas masih belum melunaskan bayaran cukai lima peratus….sedangkan syarikat lain sudah berbuat demikian.

“Petronas seolah-olah melangkaui undang-undang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 Sarawak pada persidangan hari pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Keempat Dun Sarawak Ke-18 di sini, semalam.