KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan kini sedang menjalankan kajian menyeluruh untuk mengambil alih pelabuhan-pelabuhan di Sarawak.

Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi berkata, kajian menyeluruh perlu diambil bagi menilai langkah-langkah perlu untuk Sarawak mengambil alih mana-mana entiti persekutuan.

“Selesai kajian, kita akan ambil langkah sepatutnya untuk menentukan proses seterusnya yang akan diambil,” kata Julaihi di dalam satu sidang media pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rancangan Kerajaan Sarawak untuk mengambil alih sepenuhnya Bintulu Port daripada Kerajaan Persekutuan.

Jelas Julaihi lagi, pelabuhan-pelabuhan yang cekap dan efisien penting untuk menggerakkan aktiviti ekonomi di mana-mana negara yang sedang berkembang maju.

“Kita melihat pelabuhan itu amat penting untuk menggerak dan mempergiat aktiviti ekonomi di Sarawak,” tambah Julaihi.