Semalam, pembentangan belanjawan negeri Sarawak bagi tahun 2020 telah dibentangkan oleh Ketua Menteri Sarawak yang juga merangkap Menteri Kewangan Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tema Belanjawan 2020 bagi negeri Sarawak ialah ‘Merancakkan Pembangunan untuk Kesejahteraan Seluruh rakyat Sarawak’ merupakan satu pendekatan kerajaan bagi memastikan setiap pelosok negeri Sarawak terutama di kawasan luar bandar membangun seperti yang diinginkan.

Pada belanjawan kali ini, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM9.891 bilion untuk keseluruhan belanjawan yang mencakupi RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.294 bilion lagi bagi perbelanjaan mengurus. Ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak memastikan kesinambungan pembangunan berterusan terus dirasai oleh segenap lapisan rakyat di Sarawak terutama di luar bandar.

Belanjawan 2020 Sarawak menekankan enam strategi utama bagi merangsangkan pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan yang inklusif, mampan dan saksama bagi semua lapisan masyarakat dilihat sebagai pendekatan yang progresif dalam memastikan nasib dan hak rakyat di Sarawak terus dibela.

Enam strategi ini adalah seperti, pembangunan dan belanjawan yang memberi fokus kepada luar bandar, meningkatkan agenda pembangunan negeri mengikut acuan Sarawak, ekonomi digital sebagai pemacu utama kepada tranformasi ekonomi, pertumbuhan ekonomi dipacu pelaburan, sektor swasta sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Apa yang dapat dilihat ialah melalui enam strategi ini ia dapat memastikan konsep keterangkuman serta pendekatan yang dapat memacu negeri Sarawak ke arah negeri maju pada tahun 2030 nanti. Kerajaan Sarawak ingin memastikan kesenjangan pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak dapat dirapatkan melalui strategi pertama iaitu pembangunan dan belanjawan yang memberi fokus kepada kawasan luar bandar.

Maka, tumpuan untuk membangunkan kawasan luar bandar jelas menjadi keutamaan dalam belanjawan 2020 ini. Sejumlah RM4.141 billion yang mewakili 63% daripada keseluruhan peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan telah diperuntukan kepada pembangunan kawasan luar bandar. Ini akan merancakkan lagi pembangunan di luar bandar yang memerlukan perhatian kerajaan agar ia tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

Justeru, bagi mempercepatkan lagi pembangunan di kawasan luar bandar, sejumlah RM13.357 billion diperuntukan bagi tahun 2020 bagi melaksanakan projek berimpak tinggi seperti Projek Laluan Kedua (Trunk Road); RM1.173 bilion untuk melengkapkan jalan pesisir dan RM1.148 bilion untuk Recoda, RM500 juta untuk melaksanakan Projek Rakyat, RM500 juta untuk RTP, RM342 juta untuk Intergrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) dan RM236 juta untuk MRP.

Peruntukan ini dijana daripada pendekatan pembiayaian alternatif seperti salah satu melalui peruntukan daripada Development Bank of Sarawak (DBoS). Ternyata kerajaan Sarawak mempunyai komitmen yang tinggi dalam memacu pembangunan di kawasan luar bandar di Sarawak. Komitmen tinggi ini juga diterjemahkan dengan memastikan setiap projek yang telah dibatalkan atau ditunda oleh kerajaan persekutuan turut juga dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak seperti pembinaan jambatan Rambungan, Kamena, Igan, Batang Lupar dan Batang Lassa.

Jaminan kerajaan Sarawak memastikan setiap projek yang dibatalkan oleh kerajaan persekutuan jelas menunjukkan yang kerajaan negeri mempunyai rasa tanggungjawab untuk memastikan setiap pelaksanaan pembangunan terus dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat. Usaha berterusan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan di Sarawak terutama di luar bandar menunjukan kerajaan pimpinan GPS akan terus membela nasib anak negeri Sarawak.

Selain daripada aspek pembangunan, kerajaan Sarawak menerusi belanjawan 2020 terus menyantuni setiap lapisan rakyat Sarawak. Ini dibuktikan dengan pengenalan pemberian bantuan untuk para ibu yang bersalin sebanyak RM450 secara one-off, bas sekolah percuma untuk para anak-anak yang bersekolah pertama akan dilaksanakan di Kuching, RM 30 juta bantuan untuk anak Sarawak yang mempunyai kesukaran membayar pinjaman PTPTN, RM 100 juta untuk program dan elaun JKKK dan banyak lagi untuk kebaikan rakyat.

Inisiatif kerajaan ini adalah bagi memastikan bantuan diberikan kepada rakyat yang terus dihimpit kenaikan kos sara hidup. Kerajaan negeri sedar dan peka kepada kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat terutama bagi yang tinggal di bandar-bandar besar di Sarawak. Keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan yang dihadapi setiap lapisan rakyat sudah pasti akan mendapat perhatian daripada rakyat.

Apa yang pasti, dalam kerajaan fokus membangunkan kawasan luar bandar, kerajaan juga tidak harus lupa kepada kegelisahan hidup penduduk dibandar yang dihimpit kenaikan kos sara hidup. Ini dibuktikan dengan menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma (Kuching), subsidi bil air RM5 pertama dan sebagainya. Pemerkasaan kaedah penyampaian perkhidmatan awam juga turut ditambahbaik bagi memastikan kelancaran proses perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Apa pun, agensi pelaksanaan kepada belanjawan 2020 Sarawak ini harus memastikan setiap perancangan sampai kepada rakyat yang menjadi sasaran dalam setiap aspek belanjawan ini. Ini memerlukan komitmen tinggi kepada setiap agensi pelaksana dasar atau belanjawan agar inisiatif murni kerajaan melalui belanjawan ini mencapai objektif. Secara tidak langsung, belanjawan 2020 Sarawak ini juga menunjukan persediaan kerajaan sebelum tirai pilihan raya negeri akan di buka kurang daripada 2 tahun lagi.

Apa yang pasti, pelbagai reaksi yang akan timbul daripada pelbagai pihak berkenaan dengan belanjawan 2020 Sarawak pada kali ini. Realiti adalah rakyat di luar bandar harus menghargai usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan berterusan turut dikecapi oleh mereka. Usaha kerajaan yang mengutamakan pembangunan di kawasan luar bandar ini menunjukkan betapa serius kerajaan ingin merapatkan jurang pembangunan di antara bandar dan luar bandar di Sarawak.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.