KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang memperkenalkan Cukai Jualan Negeri (SST) pada kadar satu peratus terhadap produk aluminium yang dieksport dari negeri ini, mulai Januari tahun depan, kata Ketua Menteri.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,  hasil cukai yang dijangka daripada produk aluminium adalah sebanyak RM58 juta daripada jumlah anggaran hasil cukai sebanyak RM4.631 bilion atau 46 peratus daripada jumlah anggaran hasil negeri pada 2020. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, ini merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu Kerajaan Negeri bagi mengembangkan aliran hasilnya menerusi rekayasa asas hasilnya.

“Ini bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengekalkan momentum pembangunannya dan  agar seiring dengan pekembangan pesat pembangunan khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan pembiayaan pada amaun besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.