KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) harus menilai dengan teliti mengapa rumah dalam lingkungan RM200,000 hingga RM400,000 paling banyak tidak terjual. 

Dalam hal ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari berkata cadangan untuk menurunkan had pemilikan warga asing kepada harga RM600,000.00 sudah pasti akan memburukkan lagi keadaan. 

“Kajian perlu membuktikan apakah punca sebenar situasi ini berlaku, adakah disebabkan oleh permintaan rendah, spesifikasi rumah tidak sesuai, masalah fasiliti kredit atau trend  semasa?,” katanya dalam satu kenyataan.

Kemudian, katanya, harga rumah yang ditawarkan tinggi dan tidak selari dengan tahap kemampuan kewangan prospek pembeli. 

“Rakyat juga harus diterapkan dengan tahap literasi kewangan peribadi yang relevan. Pastinya intervensi kerajaan sangat dituntut bagi mengekang pencatutan dan spekulasi yang keterlaluan,” ujarnya.

Menurut beliau, berdasarkan data permohonan dan kelulusan pinjaman perumahan dalam tempoh Separuh Pertama 2019, semuanya menunjukkan peningkatan. 

“Jumlah permohonan pinjaman pembelian rumah yang dipohon adalah RM127 bilion, meningkat 12.1 peratus berbanding tempoh sama 2018. Walau bagaimanapun, jumlah pinjaman diluluskan hanya RM54 bilion sahaja. Hal ini bermakna lebih kurang 42.5 peratus kelulusan yang diberikan,” katanya lagi.

Menurut laporan media, jumlah keseluruhan rumah kediaman yang tidak terjual dalam tempoh Separuh Pertama 2019 ialah 130,517 unit. 

Daripada jumlah tersebut, unit ‘overhang’  adalah sebanyak 32,810 unit yang dianggarkan bernilai RM19.76 bilion. 

Jumlah tersebut tidak termasuk pangsapuri perkhidmatan kerana ia dikategorikan sebagai unit komersial dan berbeza kadar caj utiliti dan cukai.