KUCHING: Anjung Usahawan akan dibina di Simunjan dalam usaha merangsang ekonomi penduduk setempat di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, dua minggu lepas beliau telah menerima dokumen berhubung perkara berkenaan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.

Jelasnya, daerah Simunjan akan mengalami perubahan kemajuan yang ketara menjelang tahun 2020 dan 2021 menerusi pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Pesta Simunjan 2019 di Kuching, malam Sabtu.

Awla menambah, pada tahun 2020 jalan di belakang Kampung Nanas iaitu jalan alternatif juga akan dibina bagi kemudahan penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri mengucapkan tahniah dan syabas serta terima kasih kepada semua di atas kejayaan Pesta Simunjan 2019.

Jelasnya, semua telah bertungkus lumus menjalankan tugas masing-masing dan berharap ia akan menjadi satu agenda yang berterusan di kawasan Simunjan.