KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan Belanjawan Negara 2020 sebanyak RM4.4 bilion kepada Sarawak sebagai tidak adil dan berpihak kepada Semenanjung Malaysia.

Jelasnya,   ini kerana peruntukan untuk Sarawak  hanya 7.8 peratus di bawah Belanjawan Negara 2020. 

“Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM4.4 bilion daripada RM56 bilion belanjawan pembangunan untuk Sarawak,” katanya ketika membentang Belanjawan Negeri 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Jumlah itu hanya 7.8 peratus daripada jumlah Bajet pembangunan tahun depan dan bukannya 30 peratus seperti tanggapan segelintir orang,” katanya yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi

Abang Johari meminta Kerajaan Persekutuan menunaikan janji memperuntukkan 30 peratus daripada jumlah belanjawan pembangunan untuk Sarawak.

“Jangan lupa Sarawak banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta sumber kewangan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk kutipan cukai dan hasil daripada minyak dan gas sejak 50 tahun lalu,” ujarnya lagi.

Belanjawan Negeri yang dibentangkan pagi tadi menyaksikan peruntukan sebanyak RM9.891 bilion, dengan RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan manakala RM3.294 bilion untuk perbelanjaan mengurus.