KUCHING: ‘Raja Sungai’ Piala TYT Regata Sarawak 2019 dirangul pasukan Landas  apabila berjaya menewaskan pencabar utama Udak 1 dengan jurang masa kira-kira 10 saat ltu.

Perlawanan  dalam acara akhir kejohanan ikonik berkenaan  menarik perhatian ramai penonton di Tebingan Sungai Sarawak di sini.

Kejayaan itu sekali gus merekodkan kemenangan ke-11 pasukan Jabatan Tanah dan Survei itu selerpas kali terakhir merangkul gelaran itu pada 2017.

Pasukan Landas yang mara ke peringkat akhir kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki dengan tiga perahu, mengalahkan 13 perahu pasukan lain dengan mencatat masa 7:12:84 saat (s) bagi merangkul gelaran berkenaan.

Naib johan digondol pasukan Udak yang berjaya mara dengan empat perahu dengan catatan masa 7:22:57s.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Jang BS yang turun dengan dua perahu dengan mencatat masa 7:28:12s.

Foto SV/Ghazali Bujang

Juara tahun lalu, pasukan Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak yang berjaya ke peringkat akhir dengan enam perahu bagaimanapun gagal mendapat tempat tiga teratas.

Acara penyampaian hadiah disempurnakan Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Sebanyak 36 pasukan menyertai acara tahunan Kalendar Pelancongan Negeri itu yang diadakan di Tebingan Sungai Sarawak bermula Jumaat lepas dengan hadiah wang tunai keseluruhan ditawarkan RM240,000.

Ketua Menteri mengumumkan akan menambah jumlah hadiah untuk juara Raja Sungai daripada RM10,000 kepada RM30,000 pada tahun depan, dan juga meningkatkan jumlah hadiah kesuluruhan.

“Kita melihat Regata Sarawak sangat meriah, jadi kami telah bincang mungkin tahun depan akan menaikkan hadiah untuk Raja Sungai kepada RM30,000,” jelasnya  selepas menyaksikan perlumbaan berkenaan di sini, semalam.

Kira-kira 50,000 pengunjung dan peminat Regata Sarawak membanjiri Tebingan Kuching dan Sungai Sarawak, semalam.