Sunday, June 26, 2022

SMK Mukah menang anugerah gangsa Penang International Science Fair 2019

Secara Rawak

MUKAH: Pasukan robotik SMK Mukah yang dikenali sebagai Smart Brain Robotics telah berjaya memperolehi Tempat Ketiga ( Anugerah Gangsa ) untuk Kategori Malaysia Coolest Project Hardware dalam Penang International Science Fair yang telah diadakan pada 2-3 November di SPICE Arena, Pulau Pinang.

Projek yang dikenali sebagai ARAS (Automatic Refrigerator Alarm System) merupakan satu sistem yang boleh menghantar pesanan ringkas kepada pengguna sekiranya pintu peti sejuk dibiar terbuka untuk jangka masa yang panjang. Pada masa yang sama, ARAS boleh menutup pintu peti sejuk secara automatik sekiranya pengguna tidak berada di rumah.

“Ini merupakan kali pertama kami menyertai pameran sains antarabangsa. Kami rasa bersyukur kerana projek kami telah mendapat pengiktirafan daripada pihak hakim dan pelawat-pelawat luar,” kata Mentor pasukan, Wa Wee Chien.

“Objektif pertandingan ini ialah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mahir dalam bidang sains, teknologi digitital dan robotik,” tambah beliau.

Pasukan tersebut terdiri daripada dua orang pelajar Tingkatan 4 iaitu Ameerul Aimman Bin Abdullah dan Ezekiel Isa Rolly Anak Robin. Menurut Ameerul Aimman, mereka telah memperolehi pengalaman pertandingan yang sangat menyeronokkan dan mereka yakin bahawa pengalaman ini pasti dapat membantu mereka untuk pertandingan inovasi yang akan datang.

“Kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Pengetua, Mohammad Shazwan Bin Seun, PIBG sekolah, PPD Mukah, guru-guru dan ibubapa yang sentiasa memberi sokongan kepada projek pembangunan robotik dan inovasi ini,” tambah Ezekiel Isa Rolly.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru