KUCHING: Keadaan pasaran kerja di negeri ini terus stabil dengan 29,113 peluang pekerjaan dilaporkan pada tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peluang pekerjaan berkenaan terutamanya bagi sektor pembinaan, pembuatan dan pertanian.

“Pada keseluruhannya kita menjangkakan kadar pengangguran antara 3.0 ke 3.5 peratus bagi 2019,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2020 di DUN hari ini.

Pada 2020, jelas beliau, keadaan pasaran kerja dijangka kekal baik selari dengan pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi.

Abang Johari berkata, pertumbuhan ekonomi negeri pada tahun depan dijangka pada kadar 5.5 hingga 6 peratus.

Ketua Menteri menjelaskan Sarawak akan terus giat menjalankan agenda pembangunan bagi mencapai ekonomi berdapatan tinggi menjelang 2030 mengikut acuan sendiri.

“Peruntukan yang besar akan disalurkan untuk penyediaan kemudahan asas termasuk jalan raya dan jambatan, bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik serta projek berorientasikan rakyat,” ujarnya.