Tun Dr. Mahathir Mohamad sering ditanya beliau lanjut usia, sihat dan kelihatan awet muda.

Perdana Menteri atau pemimpin paling tua di dunia itu, kini berusia 94 tahun.

Pada usia itu, pasti banyak pihak yang ingin tahu rahsia di sebalik kecergasan fizikal dan mentalnya.

Berat badannya ketika ini dengan 20 tahun lalu bagai tidak berubah.

Bagi kebanyakan orang, pada usia 90-an, mereka sudah tidak larat berjalan, apatah lagi berfikir dengan baik. Mereka renta dan tak bermaya. Ada yang terlantar di katil, tidak dapat berbuat apa-apa. Keadaan mereka begitu menyedihkan.

Sebahagiannya sudah nyanyuk. Tetapi mengapa Tun Mahathir tidak nyanyuk?

Beliau menjadi Perdana Menteri keempat dari 1981 hingga 2003.

Untuk kali kedua, sekali lagi secara rasmi anak kelahiran Kedah itu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, pada 10 Mei 2018.

Ketika menghadiri acara rasmi di Bangkok, sekali lagi isu berkenaan dibangkitkan.

Rahsia sihat Tun Mahathir adalah makan dengan sedikit. Seperti amalan Rasulullah, “berhenti sebelum kenyang.”

 Inilah amalan rahsia Tun sejak bertahun-tahun. Sebenarnya pendedahan di Bangkok itu bukan baharu. Rahsia berkenaan sebenarnya tidak lagi rahsia kerana ia sudah pun diulanginya berkali-kali.

Tun berkata “Jangan terlebih makan, apabila anda gemuk, nak kembali kurus memang sangat susah. Ini adalah nasihat daripada ibu saya, ibu saya beritahu saya, jika makanan itu sedap, berhenti makan.”

“Ibu saya kata, ketika tengah seronok makan, berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan menjadi lebih mudah.”

“Sebab itu, seluar yang saya beli 40 tahun dahulu masih lagi muat,” tambahnya

Jelas Tun kepada khalayak di Bangkok, beliau kekal sihat dengan tidak makan berlebihan.

Beliau juga menasihati khalayak di Bangkok supaya elak minum makan berlemak, karbohidrat dan terlalu banyak gula.

Untuk kekal sihat, ujarnya, anda perlu kekal aktif dan sering bersenam.

Saya cuma ingin berkata bahawa dalam kehidupan kita segala-galanya mestilah sederhana, tidak keterlaluan sebab itu bagi saya satu perkara yang amat penting sekali ialah saya tidak menghisap rokok,” kata Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

“Ini mungkin susah dilakukan, tetapi kita perlu ada disiplin,” tegasnya.

Dalam satu temu bual dengan BFM baru-baru ini, kata Dr Mahathir, beliau amat mengambil berat tentang berat badan dan memastikan tidak gemuk serta mengawal pengambilan makanan.

“Saya sering beritahu kalau sesuatu makanan itu sedap berhenti makan, ia memang tidak mudah, tetapi itu nasihat ibu saya yang tidak tahu apa-apa mengenai perubatan,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan apabila belajar di sekolah perubatan, beliau nampak logik nasihat ibunya itu kerana apabila seseorang itu makan banyak maka perut menjadi besar dan berat badan bertambah sehingga menjadi gemuk.

“Keadaan ini menyebabkan jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah ke banyak bahagian, sehingga sampai masanya jantung gagal berfungsi begitu juga dengan organ-organ lain,” katanya.

Tun Mahathir pernah diserang sakit jantung pada 1989. Beliau dalam memoirnya A Doctor in The House mengakui tugas sebagai Perdana Menteri sentiasa membabitkan tekanan yang tersembunyi. 

“Saya tidak mudah teruja atau ghairah dan jarang-jarang sekali hilang sabar. Kadangkala saya berasa letih, tetapi saya akan bangun keesokannya dengan perasaan yang segar dan bersedia untuk bertugas semula. Saya sukakan kerja saya dan sukakan peluang untuk membuat sesuatu yang hanya Perdana Menteri boleh melaksanakannya,’ katanya dalam memoir setebal 982 halaman, terbitan 2012 itu.

Tun Mahathir dipetik berkata, “Apabila kita makan terlalu banyak maka perut kita akan menjadi lebih besar, bila perut kita lagi besar kita mesti makan banyak baru berasa kenyang. Satu hari (bila makanan) berasa amat sedap kita makan lebih daripada biasa dan perut (jadi lebih) besar lagi.”

“Semakin lama perut kita akan semakin besar, kita perlu makan banyak sebelum kita kenyang dan itu akan menyebabkan badan kita menjadi gemuk, berat, dan tidak sihat.”

Beliau juga turut memberi nasihat agar menjaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.

Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak”

“Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan mudah untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya.

Mengapa tidak kita ikuti rahsia dan amalan Perdana Menteri? Mana tahu kita juga dapat menjejak usia 94 tahun dengan otak dan mental yang masih cerdas.

Menurut satu sumber berikut ialah makanan dan minuman kegemaran Tun Mahathir.

Makanan kegemaran beliau ialah mi kari / char kue tiau atau mi goreng, roti jala dengan kari daging, tosai, asam pedas ekor, aneka kuih Melayu (kurang manis), popia, dan semua jenis buah-buahan kecuali buah naga. Minuman kegemaran pula ialah air minuman (Spritzer), dan kopi dan teh (kurang manis). Makanan dielakkan beliau ialah ikan, dan makanan pedas.

Menurut Dr Mahathir, hidup lama adalah satu perkara, tetapi hidup lama dan boleh berfungsi adalah perkara yang berbeza.

Bagi beliau, otak mesti bersenam sama seperti otot kepada tubuh badan. 

Ya, anda sebenarnya dapat hidup sehingga 94 tahun, malah 100 tahun.

Mengapa tidak, jumlah penduduk Jepun berusia lebih 100 tahun ialah sekitar 60,000 orang ketika ini.

Anda juga dapat hidup 100 tahun.