KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan terus giat mempromosi sektor pelancongan sukan melalui penganjuran pelbagai kejohanan sukan bertaraf antarabangsa di Sarawak.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ,Kerajaan Sarawak bukan hanya melihat penganjuran kejohanan ini dari sudut sukan sahaja tetapi juga dari aspek pelancongan negeri.

Menurut beliau penganjuran Kejohanan Badminton Masters Dunia ke -26 di Sarawak pada tahun ini telah menampilkan kelibat pemain badminton bertaraf dunia seperti Taufik Hidayat, dan secara tidak langsung telah menarik minat kemasukan pelancong datang ke Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perlawanan persahabatan yang turut melibatkan Taufik Hidayat dan Koo Kien Keat sempena Kejohanan Badminton Masters Dunia ke-26 yang berlangsung di Arena Sukan Serba Guna, Petra Jaya hari ini.

Dalam pada itu ujarnya lagi , kejohanan tersebut sekaligus memberi peluang kepada pemain Sarawak untuk menimba ilmu serta pengalaman daripada pemain-pemain senior dari serata dunia.