KUCHING: Inap desa di Sarawak mencatatkan kutipan hasil sewaan berjumlah RM3.63 juta dalam tempoh sembilan bulan sejak  dari Januari lalu.

Ini , sekali gus menjadikannya tiga tertinggi selepas Pahang dan Sabah, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi.

Beliau  berkata kutipan itu diperoleh daripada keseluruhan 43 inap desa menawarkan 950 bilik daripada 620 pengusaha yang merupakan jumlah terbanyak dalam negara.

“Kami juga menyasarkan kutipan di negeri ini akan mencecah RM4.5 juta hingga hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Persidangan Homestay 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Plaza Merdeka, di sini, semalam.

Saraya Arbi berkata keseluruhannya seramai 7,011 pelancong asing dan seramai 40,860 pelancong domestik menginap di inap desa negeri ini pada tahun ini sehingga September lepas.

Jelas beliau, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, pihaknya tidak menetapkan sasaran dan berharap pengusaha inap desa di negeri ini memperbanyakkan  aktiviti yang mampu menarik pelancong menginap di inap desa mereka.

Jelas Saraya antara masalah utama pengusaha inap desa di Sarawak yang dikenal pasti pihaknya ialah kesukaran memasarkan inap desa masing-masing melalui platform digital kerana kawasan mereka di pedalaman tiada infrastruktur komunikasi yang baik.