MIRI: Majlis Makan Malam Amal Peng Pahlung Pahi Kayan anjuran Persatuan Kayan Sarawak berlangsung di Hotel Meritz malam tadi.

Sejurus tiba, YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg disambut dengan penuh tradisi mengikut upacara menyambut tetamu oleh Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Bintulu.

Dalam ucapannya, YAB Ketua Menteri berkata beliau akan membentangkan bajet terbaik dalam pembentangan bajet bagi tahun 2020 nanti dengan salah satu keutamaannya memberi perhatian terhadap golongan ibu yang baru melahirkan anak.

Hal ini kerana selepas tempoh melahirkan anak, para ibu tidak dapat bekerja sepanjang tempoh tersebut dan memerlukan perbelanjaan harian untuk menampung keperluan seperti susu, lampin kanak-kanak, dan sebagainya.

Justeru, atas keprihatinan YAB Ketua Menteri akan mengumumkan satu bentuk bantuan untuk membantu para ibu pada pengumuman Bajet 2020 Sarawak yang bakal dibentangkan pada minggu hadapan.

Hadir sama di majlis makan malam berkenaan adalah Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak – Kanak, YB Puan Rosey Haji Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sebastian Ting Chiew Yew.