KUCHING: Kuching merupakan destinasi terakhir bagi acara “Forest Fun Run” 2019 di mana ia dianjurkan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke 100 Jabatan Hutan Sarawak.

Terdahulu, acara ini diadakan dengan jayanya di Bintulu, Miri, Sarikei, dan Sibu.

Menurut Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, pihaknya telah mendapat penyertaan yang amat menggalakkan di semua lokasi.

Jelasnya, FFR yang dianjurkan oleh pihak beliau berlainan dengan “Fun Run” (FR) yang lain kerana turut melibatkan aktiviti penanaman pokok dan medal yang diberikan kepada peserta adalah bertemakan kayu tempatan Sarawak.

Katanya lagi, medal – medal tersebut yang direka khas boleh disambung untuk dijadikan sebagai koleksi yang unik.

Tambah beliau, aktiviti penanaman pokok dan tema medal tersebut merupakan kesinambungan kepada Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg pada Jun lepas di Sabal Agro Forestry Center.

Dalam pada itu, beliau berharap dengan adanya aktiviti seumpama itu mampu untuk menarik minat orang ramai melibatkan diri dengan aktiviti penanaman pokok.

Acara ini telah pun dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Petra Jaya Dato’ Sri Fadillah Yusof dan tetamu kehormat yang lain.