KUCHING: Tunggu hari esok.

Esok, Isnin 4 November merupakan hari pembentangan Belanjawan Negeri Sarawak 2020 di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Itu jawapan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam apabila ditanya  mengenai pembayaran lima peratus cukai jualan minyak dan gas oleh Petronas kepada Kerajaan Sarawak.

Petronas satup-satunya syarikat minyak yang beroperasi di negeri ini yang belum melunaskan tanggungjawabnya meskipun diberi tempoh hingga 31 Oktober lalu.

Foto SV/Ghazali Bujang

Difahamkan, Ketua Menteri akan menjelaskan kedudukan terkini dan apa yang bakal dilakukan Kerajaan Sarawak dalam menangani kes itu.

“Kami tunggu dulu sehingga Isnin depan untuk tahu apa yang akan saya umumkan,” jelasnya.

Persidangan DUN selama lapan hari akan bermula Isnin depan.

Beliau dikerumuni wartawan  selepas menghadiri upacara menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Saradise Sdn Bhd dan Sekolah Antarabangsa Borneo untuk kampus baharu sekolah berkenaan yang akan dibina di Saradise, sebuah bandar baharu di sini, semalam.

Bagi Belanjawan 2019, keseluruhannya, sejumlah RM11.91 bilion diperuntukkan, tertinggi dalam sejarah Sarawak, dengan RM2.84 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi.

Ketika membentangkan belanjawan berkenaan, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sarawak komited memperhebat pelaksanaan program dan projek di kawasan luar bandar selepas sejumlah 67 peratus atau RM6.05 bilion, dikhususkan bagi kawasan terbabit.