PRK Tanjung Piai yang bermula hari ini  apabila hari penamaan calon pada 2 November  2019 manakala hari mengundi pula 16 November 2019 dan ini bermakna tempoh kempen selama 2 minggu. Kini sudah pasti terdapat pertembungan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), BN, Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Calon PH ialah Ketua Bersatu Tanjung Piai, iaitu  Karmaine Sardini manakala calon BN ialah Wee Jeck Seng, iaitu Ketua MCA bahagian  yang merupakan bekas anggota parlimen kawasan itu selama dua penggal. Parti Gerakan pula bertanding apabila meletakkan Wendy Subramaniam, iaitu setiausaha agung Gerakan.   Presiden parti Berjasa turut bertanding diwakili oleh presidennya sendiri Dr Badrulhisham Abdul Aziz.  

Terdapat dua calon bebas ialah Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.  Ang Chuan Lock ialah mempunyai banyak cawangan institusi tuisyen manakakala Faridah pula mewakili kumpulan E-hailing. 

Pertarungan Sebenar

Namun pertarungan sebenar ialah di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.  Hal ini kerana kedua pihak ini mempunyai jentera parti yang besar dan mampu menggerakkan penyokong mereka  dari rumah ke rumah, dari pusat daerah mengundi (PDM) ke pusat daerah mengundi (PDM). 

Mekanisme  sistem parti yang lebih lama, mempunyai  ramai pengikut dan ahli parti yang membantu, lebih berpengalaman dan akan menjadikan lebih efisien. Seluruh komponen PH dan BN akan berkampung di Tanjung Piai sehingga sukar untuk mendapat  penginapan seperti hotel dan inap desa. Malah ada ahli parti luar dari negeri lain terpaksa menginap di Johor Bharu.

Kedua calon-calon PH dan BN mempunyai kredibiliti. Kedua-duanya mempunyai kelulusan universiti malah calon BN lulusan doktor falsafah.  Tidak ada pula beban politik, skandal atau apa-apa yang menjejaskan reputasi dan popularity mereka. Calon PH dikenali sebagai imam di sebuah masjid dan berasal dari parti UMNO. 

Parti lain dan individu lain lebih kepada meraikan kesuburan demokrasi. Pengaruh mereka akan terbatas dan mekanisme mereka kurang. Parti Gerakan misalnya cuba memberikan alternatif kepada BN dan PH. Akan tetapi calon kurang dikenali berbanding calon PH dan BN. Parti Berjasa juga mengemukakan calon profesional, kredibiliti dan berpendidikan tinggi. Namun jentera parti kecil menyukarkan kempen yang lebih besar dan bersepadu.

 

Calon bebas juga alternatif kepada undi protes yang ketika PRU lepas sekitar 900 lebih undi rosak. Namun pengaruh calon bebas adalah minima kerana keterbatasan kewangan kempen, kekurangan jentera bantu dan tidak mempunyai pengikut besar untuk membantu melaksanakan kempen politik dalam masa yang singkat.

Peluang

Sekiranya melihat  keputusan pilihan raya umum tahun lepas, didapati  peluang cerah terletak kepada BN. Ini berdasarkan gabungan undi BN dan PAS yang lalu mampu membentuk kemenangan.   Pada PRU lepas, calon PH mendapat 21,255 undi manakala BN mendapat 20,731 undi dan hasilnya terdapat kemenangan tipis PH apabila hanya mendapat 524 undi. Ketika itu terdapat pertarungan 3 penjuru. Pas pula meraih undi sebanyak 2,962 undi. 

Daripada segi logika politik, pada PRK kali ini sekiranya sentimen masih sama, maka jumlah undi BN kali ini akan bertambah.  Inilah perkiraan atas perkiraan awal. Namun hakikat politik sifatnya ialah dinamik. Pada masa kini PH sudah menjadi kerajaan negeri dan kerajaan di Putrajaya. Sudah pasti PH akan  memanfaatkan jentera  negeri dan  Putrajaya secara lebih berkesan untuk meraih undi dengan lebih banyak.

Cuma beban PH ialah isu manifesto pilihan raya Pakatan Harapan yang masih banyak belum dilaksanakan dan  ada yang tidak mampu dilaksanakan. Sedangkan situasi ekonomi rakyat meruncing, kos hidup yang masih tinggi, peluang pekerjaan masih terbatas, sentimen isu Melayu dan perpaduan dilihat semakin rapuh. Isu setempat di Tanjung Piau pula ialah jalan raya kurang diselenggarakan, masalah sosial dan jenayah. Pada masa yang sama impak isu nasional seperti isu kos hidup dan ekonomi rakyat juga memberikan impak  kepada pengundi Tanjung Piai.

Walaupun apa pun manifesto yang bakal dikemukakan oleh PH untuk di Tanjung Piai, dijangka pengundi tetap pesimis kerana manifesto lama masih kurang tertunai dan dianggap bukan kitab suci pula.

Pada masa yang sama, pertandingan enam penjuru bermakna akan berlaku perpecahan undi. Paling tidak pun ratusan undi sepatutnya di tangan PH atau BN yang menentukan kemenangan tipis kini akan melebar. Semakin  tinggi pengundi akan turut ke mengundi bermakna peluang BN akan bertambah baik untuk menang kerana sentimen setempat dan nasional kurang memihak kepada PH. Namun demikian sekiranya pengundi kurang, bermakna peluang PH untuk menang adalah cerah. 

Semangat BN

Falsafah pembentukan Barisan Nasional pada tahun 1973 masih relevan apabila gabungan pelbagai parti dalam blok politik yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian politik. 

Semangat BN  lebih mementingkan kerjasama sesama komponen terus dikekalkan dengan pemilihan ini.

Persepsi kononnya BN sudah menyimpang daripada matlamat dan semangat  asal sejak penubuhan BN dapat ditangkis dalam konteks pemilihan ini. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa BN boleh menang jika meletakkan calon UMNO kerana sentimen akar umbi mahukan calon dari Umno dan etnik Melayu sesuai dengan sentimen muafakat Melayu. Sebelum ini 75 peratus ahli UMNO yang menjaga PDM BN Parlimen Tanjung Piai memboikot majlis pengumuman calon BN.

Namun UMNO tetap memberikan peluang kepada MCA agar dapat memulihkan semula kekuatan dan menarik pengundi cina untuk bersama MCA  meskipun misi ini sukar buat MCA akan tetapi perlu dilakukan agar parti berteraskan etnik Cina ini kembali kuat. Peluang ini merupakan peluang terakhir untuk MCA menyakinkan pengundi bahawa MCA masih relevan dalam politik nasional meskipun hakikatnya kemenangan MCA banyak dibantu oleh undi Melayu.

Pengumuman calon MCA secara sederhana dan ringkas oleh bukan  kepimpinan tertinggi UMNO adalah untuk meredakan sentimen akar umbi yang berkeras mahukan calon dari  Umno.

 Sudah pasti BN akan pastikan jentera mereka perlu lebih bekerja kuat dan tidak memandang rendah keupayaan pihak lawan yang merupakan parti pemerintah negeri dan berkuasa di Putra Jaya.

 Ternyata ini  membuktikan muafakat PAS dan Umno mementingkan semua masyarakat dan komuniti serta tidak meminggirkan etnik lain di Malaysia. Naratif kononnya Muafakat Nasional sebagai  meminggirkan etnik lain sering digunakan oleh lawan politik sebagai naratif lawan mereka.

Referendum Populariti

PRK Tanjung Piai merupakan satu petunjuk untuk melihat populariti  parti Bersatu dan kepimpinan Tun Dr Mahathir. Sekiranya kemenangan PRK berpihak pada PH maka ini menunjukkan PH masih popular kalangan rakyat. Namun sekiranya PH tewas, maka ia menunjukkan protes-protes daripada pengundi yang tidak berpuas hati dengan situasi ekonomi semasa, keadaan sosial dan politik negara. Sekiranya ini berlaku, maka sudah pasti desakan agar Tun Mahathir berundur sebagai perdana menteri  dan peralihan kuasa berlaku lebih cepat lagi.

Sekiranya BN menang maka  ini merupakan satu kebangkitan BN dengan Muafakat Nasional  yang tak meminggirkan etnik lain di negara ini. MCA akan dilihat mulai pulih dan presiden UMNO terselamat daripada desakan untuk berundur. Namun, sekiranya berlakunya sebaliknya, maka MCA tidak akan relevan dalam politik nasional kerana tidak mampu membuktikan kemampuan di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat BN. PRK akan datang MCA akan dipinggirkan oleh UMNO.  

Ketika ini, terdapat isu  penahanan 2 ADUN kes LTTE, isu pengharaman  komik dikatakan pro-komunis, isu tulisan jawi dan khat yang menghantui  sokongan pengundi Cina khususnya dalam PRK ini. Pada masa yang sama hubungan parti Bersatu dan DAP juga dikatakan kurang serasi khususnya dalam kalangan pengikut tegar mereka.

Dengan jumlah peratus undi Melayu 57.6 peratus  dikatakan penentu kepada kemenangan PRK ini, manakala pengundi Cina pula mewakili 41.4 peratus turut menjadi penentu. Jumlah yang turun tinggi perlu dipertingkatkan untuk memastikan proses demokrasi di negara ini disuburkan. Yang pasti PRK ini sungguh mendebarkan PH dan BN!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.