SERIAN: Pasukan PSKPP Serian muncul juara dalam kategori bola sepak selepas menewaskan PSKPP Mukah 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Serian, pada Khamis.

Berucap semasa majlis penyampaian hadiah kepada pasukan bertanding, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata, penganjuran Pesta PSKPP Sarawak merupakan satu program yang mendukung usaha melibatkan penyertaan warga pendidikan dalam bidang sukan, permainan dan kebudayaan.

Beliau yang juga Yang Dipertua PSKPP Sarawak memberitahu, pesta tersebut dijadikan sebagai platform untuk memilih peserta yang akan mewakili Pasukan PSKPP Sarawak ke Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) di Melaka pada 15 hingga 21 Disember depan.

Tambah Dr Azhar, pasukan PSKPP Sarawak telah menghantar seramai 196 peserta dan menyertai 10 acara yang dipertandingkan di Pesta MSKPPM di Kuching pada tahun lalu.

Dalam pesta itu, pasukan PSKPP Sarawak mendapat tempat kedua secara keseluruhan daripada 17 buah pasukan yang mengambil bahagian.