Pelaburan melalui internet semakin popular hari ini, terutama di kalangan orang awam. Umat Islam tidak terlepas dari godaan pulangan tinggi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini. Ini menjadikan penyertaannya begitu hebat dan menggunung hari demi hari.

Tanpa memikirkan halal dan haram, atau hanya dengan kefahaman amat tipis tentang ‘nature’ sesuatu pelaburan itu dari kaca mata Islam, mereka berbondong-bondong menyertainya dengan ‘keyakinan’ ianya adalah halal atau sesetengahnya tiada endah berkenaan hukum, yang penting baginya adalah RM RM RM.

‘Keyakinan’ palsu ini kelihatan terserlah kesilapannya apabila tulisan-tulisan yang disiarkan di web saya http://www.zaharuddin.net/ dan disebar luas oleh yang sukarelawan Islam tersedar melalui email dan yahoogroups yang pelbagai.

Setelah meneliti pelaburan-pelaburan ‘favorite’ ini, ternyata hampir semuanya adalah tidak sah di sisi Islam secara sepakat ulama. Selain itu ternyata juga bahawa ianya tidak lain hanyalah ‘pinjaman dengan pulangan Riba’ belaka dan bukannya pelaburan yang sah atas dasar konsep ‘Mudarabah’ atau ‘Musharakah’ yang diredhai Allah SWT. Kali ini kita semak sama-sama beberapa isu asas dalam tiga dana pelaburan yang amat di ‘gilai’ oleh ramai.

Saya kira, mungkin ramai juga yang akan berhenti membaca artikel ini di sini akibat teruji dengan satu perasaan hebat di hatinya, bimbang akan ‘terbaca’ sesuatu yang tidak enak berkenaan pelaburan yang menjadi penyelesai masalah kewangan hidupnya. Apapun, saya tiada pilihan lain kecuali menyahut apa yang dikatakan oleh Nabi SAW « Berkata benarlah walaupun ianya pahit ».

Saya juga ada mendengar terdapat beberapa indivdu utama pelaburan ini dengan sengaja mengatakan

“Jangan tanya ustaz yang reti, nanti dijawabnya haram, tak pasal-pasal susah kita nak cari ahli”

Bagi saya, ucapan ini tidak lain dari bercanggah dengan kehendak ALLAH SWt yang mengingatkan kita

“Tanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui” dan juga ertin firman Allah SWT :

“Wala yunabbi uka mishlu khabir” ertinya : “dan tiada yang dapat memberikan sesuatu jawab yang memuaskan seperti yang berpengalaman”

ABB Fund, Eaindex, Winlifund & Arabic Fund dan yang seumpama dengannya…

Semasa dihujani dengan soalan berkaitan pelaburan Em-Pay, saya juga dihujani dengan lebih lebat dengan soalan berkenaan ABB Fund, Winlifund dan Eaindex. Jika saya jumlahkan semuanya, semua soalan ulangan ini berjumlah lebih 150 kali kepada saya.

Pada mulanya, ingin saya abaikan saja kerana kesibukan tugasan yang rencam, tetapi hari demi hari saya sendiri naik letih membaca soalan yang sama berulang kali, sehinggalah tergerak hati untuk mengkajinya bagi manfaat umat Islam setelah beberapa individu menelefon serta memberi penerangan lisan akan cara pelaburan ini dibuat. Ia menjadi lebih cepat dan mudah jika ada yang telah menyertainya menerangkan.

Justeru, saya ingatkan, jiak masih ada yang ingin saya cepat tolong menyemak pelaburan yang dikehendakinya, anda perlulah menelefon saya dan menerangkan dengan jelas secara lisan. Hanya kemudian selepas itu, saya akan ikuti dengan pembacaan ‘line by line’ di web site syarikat terbabit.

Diwarwarkan Halal

Ketiga-ketiga jenis pelaburan ini pernah dan kerap diwarwarkan ‘halal’ oleh individu yang kurang biasa dengan displin mualamat Islam. Bagi ABBFund, Winlifund dan eaindex ia secara tidak sengaja atau sengaja didakwa halal kerana  dikatakan pelaburannya terhad kepada aktiviti halal seperti industri minyak dan gas, hartanah, getah dan sebagainya yang halal.

Kita perlu memahami bahawa, apabila kita ingin mengetahui sesuatu pelaburan itu halal atau haram, kita tidak boleh hanya melihat kepada industri apakah yang digunakan wang kita itu. Sebaliknya, paling minima kita perlu melihat dari dua tahap.

1) Tahap Pertama : Wang dari poket kita kepada syarikat pelaburan .

Inilah tahap yang kerap dilupakan oleh para peserta ABB Fund & Swiss cash dan sekutunya. Mereka kerap memfokuskan kepada tempat ABB melaburkan dana terkumpulnya. Ini tindakan yang kurang tepat kerana kita perlulah menyemak apakah aqad atau kontrak antara kita dan syarikat Pelaburan itu terlebih dahulu. Ringkasnya, ia MESTILAH dibuat dengan tepat menurut kehendak Shariah dan menepati cara dan syarat pelaburan Islam. Jika tidak, aqad akan batal, maka tiada gunalah lagi untuk mengetahui di mana dilaburkan dana terkumpul itu.

Sebagai contoh mudah, si A mencuri duit dan kemudian membeli al-Quran dengan duit curi itu.

Hukum adalah jelas dalam hal ini, walaupun duit itu digunakan dengan cara yang betul di tahap kedua (membeli Quran), tetapi  kerana tahap pertama (curi) adalah haram, maka tahap kedua yang baik tidak akanmenjadikan pembelian itu halal.

2) Tahap Kedua : Wang kita di syarikat itu dilaburkan dan digunakan untuk industri dan instrumen pelaburan halal atau haram.

Kajian tahap pertama, terhadap aqad di antara peserta dengan syarikat ABB ,Eaindex dan Winlifund ternyata menunjukkan masalah yang sama iaitu :-

Isu Pertama : ‘Fixed Return’ atau keuntungan yang dijamin.

Telah berkali-kali saya sentuh isu ini, tapi nampaknya umat Islam masih kabur  dan tidak dapat menangkap dengan jelas konsep sebenar pelaburan Islam yang dibuat atas asas Mudarabah dan Musharakah. Saya ingin tegaskan di sini agar saya tidak ingin lagi ditanya dengan soalan dan skim pelaburan yang sama. Sebagai panduan utama :

SEBARANG PELABURAN YANG MENJANJIKAN PULANGAN UNTUNG SECARA TETAP ADALAH HARAM MENURUT KONSEP PELABURAN ISLAM.

Saya harap dengan panduan amat amat mudah ini, semua orang boleh menjadi menentukan ianya halal atau haram bagi dirinya setiap kali ingin membuat pelaburan.

Justeru, aqad antara peserta dan syarikat ini telah dikira tidak halal di sisi Islam,

Maka di ketika ini, tiada gunalah menghabiskan tenaga menyemak tahap kedua. Bagaimanapun , bagi mendatangkan lebih keyakinan kepada pembaca yang saya kira majoritinya telah menyertainya, saya akan bantu anda untuk mengesan di mana silapnya secara ringkas dan padat.

ABB FUND

Hal ini ternyata apabila kita melihat di web ABB Fund di http://www.abbfund.biz/ atau http://abfund.mine.nu/. Kita akan dapati plannya begini :

Ini bermakna jika modal ‘pelaburan’ anda USD 20. Setiap hari anda dijamin mendapat pulangan sebanyak 2 % , dan jika anda letak USD 2000, maka akan mendapat 2.9 % setiap hari.

WINLIFUND

Adapun Winlifund pula seperti berikut (rujukan http://www.winlifund.com/investment.html)  :

Value % Per Day Days Return
10 USD 2.0 100 20 USD
50 USD 2.2 100 110 USD
100 USD 2.5 100 250 USD
300 USD 2.6 100 780 USD
500 USD 2.7 100 1350 USD
1000 USD 2.9 100 2900 USD
1500 USD 3.0 100 4500 USD

 

ARABIC FUND

Berikut pula arabic fund skim..rujuk www.al-arabic.com

Daily Return of Investment (ROI)

Capital Daily % 100 Days ROI RETURN
USD 20 2.1% 210% USD 42
USD 50 2.3% 230% USD 115
USD 100 2.5% 250% USD 250
USD 500 2.7% 270% USD 1350
USD 1000 3.1% 310% USD 3100

Ia juga menjamin keuntungan..nama arabic tidak menghalalkan yang haram kerana amat ramai orang arab yang tidak pun solat (terutama solat Subuh. Janganlah terpedaya hanya dengan nama arab. Malah Perbankan Riba masih menguasi 80 % kewangan di negara-negara Arab juga.

DANAFUTURES 

Berikut pula bukti Ribanya Skim DanaFutures :-

Buka di http://www.danafutures.com/home.php

OUR PROFIT SHARING SYSTEM (ROI CHART)
All value traded and calculated in USD
Status Unit Value Daily ROI Payout Days Return with Profit
Basic Unit 25 2.20% 100 55.00
Personal Unit 100 2.65% 100 265.00
Executive Unit 500 2.85% 100 1,425.00
Business Unit 1000 2.95% 100 2,950.00
Corporate Unit 2000 3.15% 100 6,300.00

 

Ia juga menjamin keuntungan serta dikontrakkan secara riba. Tiada guna nama ‘Investment’nya kerana dengan jaminan itu ia telah menjadi pinjaman dengan interest yang haram.

EAINDEX

Manakala Eaindex pula sebagaimana berikut (http://www.eaindex.com/index.php ) :-

* Minimum Index Code Purchse is $ 20
Code Types Value Percentage Days Total Percentage
Index20 Code $      20 1.8 % per day 100 180 %
Index1000 Code $ 1,000 2.0 per day 100 200 %
Index5000 Code $ 5,000 2.3 % per day 100 230 %

 

Ini bermakna jika modal ‘pelaburan’ anda USD 20. Setiap hari anda dijamin mendapat pulangan sebanyak 1.8 % , dan jika anda letak USD 1000, maka akan mendapat 2.0 % setiap hari dan jika diberi pinjam USD 5,000 akan dibalas dengan riba sebanyak 230 %. Dalam masa 100 hari. Secara sepakat ulama Shariah silam dan kontemporari, jaminan untung ini adalah namanya RIBA dan bukan pelaburan. Saya juga telah mengulas perkara ini semasa saya menulis berkenaan Swiss Cash dan juga Em-pay.

EAINDEX dengan terus terang menyebut di laman webnya

“EAINDEX Plans are designed to simplify the investment process by providing easy calculation values of $ 20, $ 1000 and $ 5000. Each index code provides a FIXED RETURN for period of 100 days from inception”

Adakah anda perasan perkataan ‘FIXED RETURN’ yang dinyatakan ? Inilah yang dikatakan Riba. Kerana Pelaburan yang diiktiraf Islam tidak dibenarkan menjamin sebarang keuntungan, hanya anggaran dan andaian sahaja serta pihak pengurusannya tidak membuat sebarang janji untuk memberi untung itu.

Demikian keputusan yang disebut secara sepakat oleh ulama silam, iaitu kontrak pelaburan itu tidak sah menurut Islam. Dan semua untungnya juga tidak sah. (Rujuk Bada’i as-Sonai’, Al-Kasani, 5/119 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 5/281 ;  Mughni Al-Muhtaj, 3/404 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/44)

Manakala Majlis Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI yang saya sebutkan nama pakar-pakarnya di bawah telah membuat  keputusan berikut, berikut teks fatwanya :-

إذا شرط أحد الطرفين لنفسه مبلغاً مقطوعاً , فسدت المضاربة

Ertinya : “Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu” ( Al-Ma’ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240)

Jaminan untung tertentu dalam sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai haram kerana ia adalah Riba. Hadith Nabi yang telah dijadikan Kaedah Fiqh menyebut :

أن الخراج بالضمان

Ertinya : “(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)”  (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; Albani : Hasan)

Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram dan kontrak menjadi batal menurut sepakat Ulama.

Isu Kedua : ‘Commodity Futures’ dan Forex

Adapun sekiranya, tahap pertama tadi berjaya, kita wajib memeriksa tahap kedua pula. Apabila saya merujuk dan membaca ‘line by line’ penerangan berkenaan ABB Fund dan Winlifund. Eaindex ternyata ia bukan sahaja melabur di dalam industri minyak dan gas sebagaimana yang difahami, ini disebutkan di web ABB

major oil companies, energy services, oil and gas exploration and production companies, and natural gas pipeline companies.,

tetapi ia juga terlibat menggunakan perniagaan ‘commodity futures’ dan Forex bagi meraih keuntungan.

Ini disebutkan dari petikan dari webnya iaitu :

The ABFUND program is a long term high yield private investment program managed by a group of professional traders specialize in trading on equity market, currencies, major market indexes and energy commodity futures markets. Our successful trading record has maximize high yield return to our investors’ investment and we are paying real-time in daily basis through the PAY-IT 4 PROFIT SYSTEM.

Beirkut pula dalam web Winlifund (http://www.winlifund.com/market.html )

” Basically, the markets are categorized into: Equities , Commodities  Currencies, Real Estates “

Anda nampak perkataan CURRENCIES, itulah perniagaan berkaitan Forex, telah saya bawakan kajian dan keputusan Majlis Penasihat Shariah Dunia di artikel saya ketika mengulas isu Swiss Cash, sila buka link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72

Berkenaan ‘Commodity Futures’ pula, saya amat pasti, para ustaz yang tidak terlibat dengan industri perbankan dan kewangan di Malaysia atau antarabangsa, AMAT SUKAR UNTUK MEMAHAMI apakah erti ‘commodity futures’, apatah lagi mengulasnya dari sudut hukum, mungkin membaca tulisan saya ini pun boleh dilanda ‘migrain’.

Ia perkara biasa dan boleh diterima, kerana setiap ustaz mempunyai pengkhususan masing-masing, seperti saya yang tidak mahir dalam bidang ‘faraid’ (pembahagian harta pusaka), tiada apa yang perlu dimalukan dan aib. Cuma yang aib adalah berlagak ‘specialist’ dan pakar lalu memberi fatwa dalam bidang yang bukan bidang anda, dengan mudah anda boleh ditertawakan atau disanggah oleh ‘specialist’ kelak dengan hujjah ‘check mate’.

Justeru, saya menasihatkan orang ramai yang menjadikan ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ sebagai kiblat dalam pelaburan ini memastikan mereka benar-benar ‘specialist’ dalam bidang ini, untuk itu cuba meminta penjelasan kepada ustaz yang diikuti ini, apakah ‘Commodity Futures’ dan bagaimana ABB Fund ini boleh menjadi halal bila terlibat dengan commodity futures?.

Sedangkan Majlis Penasihat Shariah Institusi Kewangan Dunia telah membuat keputusan bahawa (Rujuk keputusan no 5/1/2, Al-Ma’ayir As-Shariah, hlm 371 ; Keputusan Persidangan Dallah AlBarakah, tahun 1999, no 17/1):

TIDAK HARUS (HARAM) DARI SUDUT SYARA’ UNTUK BERURUSAN DENGAN ‘FUTURES CONTRACT’ (termasuk Commodity Futures) SAMADA MEMBUATNYA, MEMBELI DAN MENJUALNYA.

Ia menjadi haram kerana sebab berikut :-

  1. a)Penjualan beli komoditi secara tangguh bayaran dan penghantaran komoditi yang dijual. Ini menyebabkan ia tergolong dalam hadith, berkatalah Ibn Umar :

أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الكالئ بالكالئ

Ertinya : “Sesungguhnya Nabi SAW melarang dari menjual hutang dengan hutang” (Riwayat Ad-Dar Qutni ; At-Tabrani, Al-Hakim : Sohih atas syarat Imam Muslim ; Naylul Awtar , no 2187 ; 5/174 )

Imam Ahmad, Ibn Munzir, Ibn Rusyd, Ibn Quddamah, Ibn Taymiah , As-Syubki dan  Imam As-Syawkani menyebutkan bahawa telah Ijma’ seluruh ulama bahawa haram membeli secara tangguh serahan barang dan juga tangguh serahan bayarannya. (Al-Mughni, 4/53 ; Bidayatul Mujtahid, 2/162 ; Az-zarqani ala Muwatta, 3/308)

  1. b)Menurut kebiasaannya penjual secara ‘futures’ ini menjual komoditi yang belum berada dalam miliknya. Ini dilarang oleh Nabi SAW sebagaimana hadith

لا تبع ما ليس عندك

Ertinya : “Janganlah (dilarang) kamu menjual sesuatu yang belum dimiliki olehmu” (Riwayat At-Tirmidzi , no 1232 , Albani : Sohih )

Selain dua sebab ini terdapat 2 sebab lain yang menyebabkan Majlis Ulama Fiqh mengharamkannya. Termasuklah unsur perjudian yang wujud. Bagaimanapun, cukuplah dua hujjah ini untuk saya dedahkan kepada awam agar infomasi yang diberikan tidak begitu berat. Sesiapa yang berminat boleh rujuk di artikel saya tentang Swiss Cash, telah saya ulasnya http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72

Sebagai makluman, keputusan ini dibuat setelah sepakat seluruh Ulama Fiqh SeDunia bersama perbincangan pakar ekonomi. Ahli Majlis Penasihat Shariahnya dianggotai oleh ulama seperti berikut :-

  1. Sheikh Mufti Taqi Uthmani (Hakim Syarie Mahkamah Tinggi, Pakistan – Pengerusi)
  2. Sheikh Abdullah Bin Sulaiman Al-Mane (Hakim Mahkamah Mekah)
  3. Sheikh Prof. Dr. Muhammad Siddiq Ad-Dharir ( Prof Shariah, Univ Khartoum, Sudan)
  4. Sheikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli (Prof Shariah, Univ Damsyiq, Syria)
  5. Sheikh Prof. Dr ‘Ajil An-Nashmi ( Prof Shariah, Univ Kuwait)
  6. Sheikh Husayn Hamid Hassan (Pengerusi Majlis Penasihar Shariah, Dubai Islamic Bank, UAE)
  7. Sheikh Abd Rahman Al-Atram ( Penasihat Shariah, Ar-Rajhi Investment Bank, Saudi)
  8. Sheikh Ali Tashkiri ( Setiausaha Agung, Kesatuan Dunia ‘Taqrib’ Sunnah dan Syiah, Iran)
  9. Sheikh Dato’ Ghazali Abd Rahman (Ketua Hakim Syarie, Malaysia)
  10. Sheikh Al-Ayyashi As-Sadiq Al-Faddad ( Ma’ahad Penyelidikan Islam, Islamic Development Bank, Saudi)
  11. Sheikhuna Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Kumpulan Perbankan Dallah Al-Barakah Sedunia)
  12. Sheikh Ahmad bin Abdullah ( Setiausaha Agung, Majlis Penasihat Shariah, Sudan)
  13. Sheikh Nizam Ya’qubi (Majlis Penasihat Shariah, Bahrain Islamic Bank)
  14. Sheikh Nazih Hammad (Majlis Penasihat Shariah, Citibank Islamic )
  15. Sheikh Dr Mohd Daud Bakar (Pengerusi, Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan, Malaysia)

Itulah ahli Majlis yang membuat keputusan itu, saya tidak pasti jika anda masih mempercayai orang tertentu di Malaysia sedangkan ia telah dibincangkan oleh pakar-pakar seperti di atas.

Isu Ketiga: Syarikat yang amat diragui

Selain itu, walaupun perniagaan minyak dan gas, eletrik,  adalah halal, dokumen-dokumen utama dan cara jual belinya dilakukan hendaklah disemak oleh sebuah Majlis Penasihat Shariah terlebih dahulu agar semua rukun dan syarat jual beli diikuti.

Sebagai contoh, Majlis Penasihat Shariah Dow Jones Islamic Fund, sila buka laman mereka di http://www.investaa.com/ ; sebelum meluluskan sebarang syarikat yang boleh di sahkan halal, mereka akan mengkaji dengan teliti, antara contohnya mereka akan memastikan syarikat tersebut tidak mempunyai pinjaman konvensional lebih dari 30 % dan banyak lagi kaedah semakannya.

Selain Dow Jones Islamic, anda boleh merujuk cara semakan dan pengesahan yang dibuat Jabatan ‘Islamic Capital Market’ di Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. Dengan itu anda akan mengetahui bagaimanakah cara mereka mengesahkan sesebuah Dana Pelaburan itu untuk boleh sebagai halal. Inilah antara kerja di Suruhanjaya Sekuriti di Jabatan Pasaran Modal Islam.

Tidak perlulah saya dedahkan kaedah ‘screening’ mereka kerana ianya agak teknikal dan hanya akan memeningkan orang awam yang tidak berpengalaman dalam hal pelaburan. Kesimpulan saya di sini adalah, ABB Fund dan EAindex tidak pernah memikirkan tentang halal haram, mereka adalah Kapitalis yang hanya mencari untung semaksimum mungkin tanpa mengendahkan displin Islam, jika tidak mereka sudah tentu melantik pakar-pakar Shariah untuk menyemak pelaburan mereka.

Dengan tiga hujjah ini pun sudah jelas, dan tidak perlu lagi saya mendedahkan kepincangan Shariah dalam system agensi dan commission memperkenalkan ahli bawah mereka. Jika tiga isu tidak lepas, yang lain juga tiadalah gunanya.

RUNGUTAN & RESPOND

“Kalau macam tu, semua haram ustaz, Bank Negara, kereta, rumah, ekonomi kita, negara kita, kedai runcit dan lain-lain” Demikian luahan tak puas hati yang pasti akan kedengaran bila artikel ini dibaca.

Inilah jenis respond ‘cari makan’ apabila sudah didedahkan satu persatu bahawa pelaburan yang disertainya adalah bercanggah dengan hukum Allah SWT. Iaitu, cuba mengaitkan dengan perkara lain agar kelihatan mustahil untuk mengelaknya, selain itu ada juga yang akan mula mempersoalkan kewangan peribadi saya pula. Padahal, ia tiada kaitan dengan hukum pelaburan mereka. Ia dibuat hanya untuk mengubah focus isu ini kepada topic lain.

Nasihat saya, janganlah menjadi tidak teliti tentang hukum sebelum melabur hanya kerana ia membawa keuntungan lumayan. Membuat kesimpulan umum tanpa ilmu hanya membawa masalah dan kemerbahayaan kepada diri sendiri. Saya tidak punyai masa yang panjang untuk menjelaskan satu demi satu. Cukup saya katakan, bahawa lebih mudah untuk saya menjelaskan secara ‘lisan’ dari menulis.

Justeru, anda boleh menemui saya atau mendaftar di kursus kewangan Islam yang akan diadakan 24 Februari 2007 jika anda ingin mengajukan soalan seperti itu. Saya tidak mahu mempromosi kursus itu di sini, kerana itu saya katakan, anda masih boleh mengajukannya secara telefon dan berjumpa saya di kuliah-kuliah bulanan saya di serata lembah Klang secara percuma. Saya kira, saya mampu menerangkannya dalam masa 5-15 minit sahaja.

HUJJAH POPULAR UNTUK MENGHARUSKAN YANG HARAM

Hujah-hujah ‘favorite’ dan rapuh yang kerap digunakan mereka adalah seperti berikut :

  • Hujjah Pertama Mereka : “Apa salahnya, bukankah ia boleh meningkatkan ekonomi  umat Islam”, 

Jawapan saya : “Ekonomi umat Islam hanya boleh berkembang bila ada unsur keberkatan. Bermuamalah dengan yang haram, adalah tiada berkat dan pasti tidak akan berkembang sampai bila-bila. Jika berkembang, ia hanya menambahkan dosa seperti melahirkan lebih banyak si tamak, penipu, pemberi dan penerima rasuah dan lain-lain unsur jahat yang secara senyap menghancur sesebuah masyarakat. Ia disebut oleh Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 278 : “Allah memusnahkan keberkatan dari harta Riba..”

  • Hujjah Kedua Mereka   : “Maslahat”

Jawapan saya : Saya telah jawab isu penggunaan maslahat ketika mengulas isu ASB. Boleh rujuk artikel di link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=224&Itemid=63….Kesimpulannya ia adalah ‘Maslahat Mulghah’ iaitu Maslahat yang tertolak.

  • Hujjah Ketiga Mereka   : “Jika tiada duit maka buat kebajikan pun tak boleh” dan yang sepertinya.

Jawapan saya : Sebuah hadith menyebut :

من جمع مالاً من حرام ثم تصدق به , لم يكن له فيه أجر

Ertinya : Barangsiapa yang megumpulkan wang haram dan kemudian bersedeqah dengannya( membuat kebajikan ) , maka tiadalah sebarang ganjaran kebaikan untuknya ( Riwayat Al-Hakim, 1/390; Ibn Hibban, no 797 : Sohih menurut Ibn Hibban dan Al-Hakim, dipersetujui oleh Az-Zahabi; Albani : Dhoif)

  • Hujjah Keempat Mereka   : “Sampai tahap dharurat”

Jawapan saya : Ini adalah anggapan tidak sah, kerana dharurat adalah sesuatu perlara keperluan asas yang jika tidak dilakukan maka seseorang boleh hilang nyawanya. (Rujuk Al-Muwaqafat, As-Syatibi). Saya percaya ramai orang tidak melabur, tetapi masih hidup aman damai.

  • Hujjah Kelima Mereka   : Ada hadith kata ” tak boleh lari dari riba di akhir zaman, semua akan kena debunya”

Jawapan saya : Saya telah ulas bahawa hadith ini dhoif menurut imam Al-Munziri dan Albani.

  • Hujjah Keenam Mereka  : “Tak mengapa nanti kami bersihkan sebahagian bonus dengan mengeluarkan zakat”

Jawapan saya : Syarat wajib zakat ke atas Muslim adalah memiliki harta itu dengan sah dari sudut Islam, dikeluarkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT (Rujuk Al-Badai’ As-Sona’i, Al-Kasani, 2/4 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 11/171; Ad-Deen Al-Khalis, 8/84) . Jelasnya, zakat tidak boleh menyucikan harta yang haram, ia hanya boleh menambahkan berkat bagi harta yang didapati dengan cara halal. Secara sepakat ulama bahawa tiada zakat ke atas harta haram tetapi yang diperlukan adalah melupuskannya (Qadhaya Az-Zakat Al-Mu’asiroh, Dr Naim Yasin, 2/208 ).

Marah dan Menyekat Untung

Saya pasti ada yang amat marah kerana ia telah mempunyai rangkaian yang cukup luas dan keuntungan pun sudah mencurah masuk ke akaun dengan lebat sekali. Apa yang boleh saya nasihatkan hanyalah hadith Nabi yang telah saya nyatakan dahulu iaitu

كل لحم نبت  من سحت فالنار أولى به

Ertinya : “Setiap daging yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka lebih layak untuknya” ( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil ‘Iraqi, 2/9207 ; Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226)

Sebagai penambah kesedaran kita semua, suka saya nyatakan bahawa pelaburan ABB Fund, Winlifund, Em-Pay, Swiss Cash, EAindex adalah tidak sah menurut pandangan ulama dan semuanya terlibat dengan Riba dengan jelas.

Saya juga sedar betapa besarnya ujian jika saya berada di tempat pemain, pelabur dan pelopor abb fund, eaindex dan sudah meraih untung ribu-ribu..memang sukar.

Cuma suka saya ingatkan bahawa, lagi sukar sesebuah ujian, sudah tentu pahalanya juga lebih besar, sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a dalam sebuah riwayat :

“Pahala kamu adalah berdasarlah tahap keletihan dan kesukaranmu’

Bergembiralah bagi sesiapa yang berjaya mengekang nafsunya demi untuk kebahagian di barzakh.. pastinya Rasulullah SAW berbangga dengan anda !!

Malah saya juga merasakan, pahala individu yang sanggup berhenti kerana Allah ini mungkin lebih hebat dari saya yang menulis jawapan ini. Allahu akbar.!

Sebagai akhirnya, tahukah anda setara mana besarnya dosa Riba iaitu duit untung yang diperolehi dari ABB Fund, Winlifund, EAindex, Em-Pay ini?. Saya nyatakan disini bahawa.

Imam An-Nawawi rh berkata : “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama, antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi” (Rujuk Al-Majmu’, 9/391 )

BAHAYA DAN KECELAKAAN DARI RIBA

Di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan perihal besarnya dosa riba yang menjadi sebab mengapa saya menumpukan masa yang lebih bagi menyelematkan masyarakat Islam darinya.

a)Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Ia berdasarkan Firman Allah SWT :

Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya” (Al-Baqarah : 278)

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan ‘saki baki’ riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini menyebut ‘saki baki’, menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar menurut sunnah dan menjadi mukmin sejati, perlulah ia berpengetahuan jelas tentang riba serta menjauhkan diri darinya secara seratus peratus.

Saya sering terfikir, bagaimanakah sunnah dapat ditegakkan, Negara Islam tulen dapat dibangunkan, masyarakat soleh dapat diasaskan dengan hidup dikelilingi ‘virus’ Riba ini. Sedangkan zahir ayat di atas tadi membayangkan peperangan itu berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi setiap individu dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :

Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT”  (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah rh pula : ” Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan”  (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : “Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )

Berkata Imam Qatadah rh : ” Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada” (at-Tabari, 3/72 )

  1. b)Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah SWT berfirman :

Ertinya : “Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah” ( Al-Baqarah : 276 )

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta tersebut dari pemiliknya  kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah dan membawa dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf  al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982 , 1/224).  Sabda Nabi SAW dari Ibn  Mas’ud r.a :-

Ertinya : “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )

Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a :

Ertinya : “Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362  ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

  1. c)Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Dosa individu terlibat dengan Riba juga adalah seperti berzina dengan ibu bapa sendiri, saya kira, hadith di bawah sudah tidak perlu huraian lagi lantaran kejelasannya.

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : ” Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..” (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

  1. d)Lebih Berat dari 36 Kali Zina.

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “Satu dirham Riba  yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” (Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 )

Hadis ini bukanlah untuk merendahkan dosa zina, tetapi ia memfokuskan kepada besarnya dosa riba. Justeru, saya amat mengharapkan umat Islam membuka mata mereka kepada isu ini.

  1. e)Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar

Ia berdasarkan hadith nabi SAW :

Ertinya : “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) ” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika kumpulan dalil ini masih tidak mampu menyedarkan anda dari keuntungan dunia yang sementara, Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas segala yang kita lakukan. Justeru, saya tiada sebarang komen lagi.

Saya ucap tahniah bagi sesiapa yang mampu membaca satu persatu tulisan ini ke tahap ini. Ini bermakna anda sememangnya masih mempunyai iman di hati dan masih berfikir tentang urusan halal haram. Kini ilmu telah ada, maka tindakan sahaja yang diperlukan.

Akhirnya, cukuplah sekadar ini huraian ringkas saya, samada pembaca dan peserta semua dana pelaburan Riba ini ingin berhenti atau tidak, itu terpulanglah kepada empunya diri masing-masing. Tugas saya secara sukarela yang saya jalankan hanyalah mendedahkan kebenaran yang tidak dapat lagi disembunyikan.

Saya juga pasti ramai yang ingin berhenti tetapi tidak tahu apa yang ingin dilakukan dengan keuntungan yang masuk, bagaimana ingin mendapatkan kembali modal, haruskah untuk mendapatkannya kembali dan pelabagi lagi bermain di kepala. InshaAllah saya akan cuba menulis dalam artikel lain. Kerana tidak mahu memanjangkan lain artikel ini.

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/