SEMPORNA: Polis hari ini menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian seorang guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), di sini yang mendakwa diserang enam individu, 21 Okt lalu dan tular di laman sosial sejak semalam, lapor Bernama.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Sabarudin Rahmat berkata siasatan berhubung kejadian itu sedang berjalan dan polis telah menahan enam suspek berusia antara 18 dan 62 tahun, untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada semua suspek dan mangsa, namun siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi di lokasi kejadian.

“Laporan pemeriksaan daripada doktor juga diperlukan sebelum siasatan ini dibawa kepada Timbalan Pendakwaraya bagi mendapatkan arahan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Sabarudin, mangsa dan enam suspek mempunyai pertalian keluarga.

“Kejadian serangan ke atas mangsa dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati kesemua suspek terhadap mangsa,” katanya lagi.

Menurut Bernama, pada 21 Okt lalu, mangsa yang bertugas di Tabika Kemas Kampung Sungai Buaya di sini, membuat laporan polis selepas diserang dua wanita dan empat lelaki, dengan salah seorang wanita itu merupakan pembantu di tabika yang sama.

Kejadian berkenaan tular di media sosial sejak semalam selepas kisah pergaduhan itu dimuat naik di Facebook ‘Pejuang Bonok’, sehingga mendapat 2,500 perkongsian dan 1,900 maklum balas daripada netizen.

Menerusi hantaran yang dimuat naik itu, mangsa dipercayai ditolak ke lantai sebelum salah seorang suspek memukul, menampar, mencekik dan merampas gelang emasnya.

Dua lagi suspek didakwa bertindak kejam dengan cuba melucutkan seluar dalam mangsa sehingga wanita itu terpaksa menjerit meminta pertolongan.

Mata mangsa dikatakan turut dicucuk menggunakan bucu kotak dan suspek turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.