KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang penganggur atas pertuduhan merogol dan merompak seorang pengantin baharu tahun lalu.

Tertuduh, berusia 28 tahun, dari Dungun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noriah Osman.

Bagi kesalahan dibawah seksyen 376 (b) Kanun Keseksaan kerana merogol, tertuduh dihukum penjara 18 tahun dan 8 sebatan.

Manakala bagi kesalahan di bawah seksyen 392 Kanun yang sama tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan.

Lelaki itu didakwa merogol mangsa, berusia 30 tahun semasa menceroboh masuk ke rumah sewa mangsa, lapor Astro Awani.

Kesalahan dilakukan di Paka, Dungun, kira-kira jam 5.40 pagi, pada 5 Oktober tahun lalu.

Tertuduh yang hanya memakai seluar dalam dan bertopeng merogol mangsa dengan mengugut dengan meletakkan gunting di leher mangsa.

Tertuduh kemudiannya mengugut mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga termasuk sebuah telefon bimbit.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan bermula dari tarikh tangkapan pada 21 Januari lalu.

Kes dikendali Timbalan Pendakwaraya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.