XU Shinan, 35, dan kekasihnya Yang Liu, 34, merancang berkahwin, namun tujuh hari sebelum perkahwinan mereka, Yang Liu meninggal dunia akibat kanser payu dara.

Namun, Xu tetap menunaikan janji berkahwin dengan yang Liu lebih-lebih lagi kerana Yang pernah memesan meminta agar Xu mengkahwininya dalam apa juga keadaan.

Majlis perkahwinan itu diadakan seperti majlis perkahwinan biasa, kedua-dua mempelai memakai baju pengantin dan orang ramai dijemput menghadirinya.

Namun majlis itu juga diadakan bersamaan majlis pengebumian Yang.

Yang dikatakan berjuang melawan penyakitnya selama lima tahun, namun dia tewas juga akhirnya.

Menurut Xu, Yang memesan agar tiada siapa yang dibenarkan menangis jika dia meninggal dunia.

Xu mengatakan dia cuba menahan air matanya sepanjang majlis perkahwinan mereka, namun apabila tiba masa untuk majlis pengebumian dia tidak mampu menahan tangisannya.

Xu dan Yang menjalin hubungan 12 tahun dan merancang berkahwin, namun Yang didiagnosis menderita kanser payu dara ketika berusia 28 tahun.

Mereka berdua menunda perkahwinan itu kerana Yang perlu menjalani pelbagai jenis rawatan selain pembedahan dan seterusnya kemoterapi yang melelahkan.

Mereka sepatutnya berkahwin pada 2017 apabila keadaannya mula pulih, namun kanser tersebut merebak semula. Sejak Julai 2019, dia hanya mampu berbaring di katil. Pada 6 Oktober lepas, Yang koma dan meninggal dunia seminggu kemudian.