N.19 Mambong merupakan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh Datuk Dr Jerip Susil yang menang atas tiket calon langsung BN dari parti UPP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 lepas. Setelah perubahan landskap politik pasca PRU 14 lepas, UPP telah dijenamakan semula sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menjadi pentas politik YB Mambong ini. Namun begitu, setelah penyandang keluar daripada PSB, beliau kini menyertai PBB yang merupakan komponen terbesar dalam GPS.

Dr Jerip yang terkenal dengan jolokan sebagai katak dalam politik akhirnya diterima sebagai ahli oleh PBB. Kini, DUN Mambong dibawah PBB. Secara tradisi, DUN Mambong ini merupakan kerusi yang diperuntukan untuk parti SUPP sebuah parti komponen GPS. Dr Jerip merupakan bekas ahli SUPP sebelum keluar dan bersama mengasaskan UPP seterusnya PSB bersama Datuk Seri Wong Soon Koh.

Persoalannya sekarang, adakah percaturan baharu akan digunakan dalam pembahagian kerusi untuk GPS pada PRN 12 nanti? Sekiranya tidak ada, adakah SUPP akan berdiam diri sekiranya Dr Jerip ditugaskan untuk mempertahankan kerusi N.19 Mambong pada PRN 12 nanti? Dimanakah kerusi DUN ditandingi PBB akan ditukar dengan SUPP sekiranya Dr Jerip bertanding di Mambong yang kini telah menyertai PBB? Persoalan ini amat menarik untuk diteliti.

N.19 Mambong merupakan nama baharu yang diketengahkan pada PRN 11 Sarawak iaitu sebelum ini dikenali sebagai DUN Bengoh. Dr Jerip telah bertapak di kawasan ini sejak DUN ini dikenali sebagai Bengoh lagi. Namun begitu prestasi Dr Jerip dalam setiap kali PRN tidak konsisten.

Pada PRN 10 Sarawak, Dr Jerip yang mewakili SUPP pada masa itu hanya menang dengan mendapat undi majoriti sebanyak 3988 undi dalam pertandingan empat penjuru di N.16 Bengoh. Setelah pemetaan penambahan kerusi DUN di Sarawak, N.19 Mambong yang mengantikan Bengoh diperkenalkan pada PRN 11 Sarawak. Pada PRN 11, Dr Jerip telah memenangi kerusi ini dengan undi majoriti sebanyak 3333 undi sebagai calon langsung BN dalam pertandingan tiga penjuru.

Persoalannya, adakah Dr Jerip akan diberi peluang oleh PBB untuk PRN 12 nanti? Sejauhmanakah SUPP dapat memberi kerusi tradisi mereka ini kepada PBB?

Sekiranya Dr Jerip bertanding untuk mempertahankan kerusi Mambong bagi GPS, sudah pasti SUPP juga menginginkan penukaran kerusi Mambong tersebut dengan PBB. Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian menegaskan bahawa kerusi Mambong merupakan kerusi tradisi untuk SUPP. Kenyataan Presiden SUPP ini jelas menunjukkan bahawa SUPP tetap akan mempertahankan kerusi ini pada PRN 12 nanti sekiranya tiada pertukaran kerusi dilakukan jika Dr Jerip turut ingin mempertahankan kerusi ini.

Banyak persoalan yang boleh diketengahkan bagi merungkai apa yang ada di DUN Mambong ini menjelang PRN 12 nanti. Adakah penyandang dapat mengekalkan kerusi DUN Mambong ini pada PRN 12 nanti? Sejauh manakah penyandang boleh menjadi calon boleh menang kepada GPS? Persoalan ini harus diteliti sebaik-baiknya sebelum mengetengahkan penyandang untuk mempertahankan kerusi ini.

Harus diingat, pada PRU 14 lepas, kekalahan BN Sarawak yang diwakili PBB di Parlimen Puncak Borneo disebabkan kesilapan calon yang diketengahkan ketika itu. DUN Mambong merupakan salah sebuah DUN di bawah Parlimen Puncak Borneo. GPS harus belajar daripada pengalaman yang lalu dalam menentukan calon bagi menghadapi PRN 12 nanti terutama di DUN Mambong ini.

Nawaitu, perkembangan politik di DUN Mambong ini amat menarik untuk diikuti. Menjelang PRN 12 nanti, sudah pasti akan lebih menarik senario politik ditonjolkan oleh aktor-aktor politik di Mambong ini. Adakah mungkin Dr Jerip tidak bertanding pada PRN 12 nanti tetapi akan bertanding mewakili PBB pada PRU 15 akan datang? Sejauhmanakah Dr Jerip masih relevan dalam konteks politik Bidayuh? Sama-sama kita renung persoalan ini.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.