KUCHING: Sarawak Pay akan digunakan secara global mulai bulan depan.

Untuk itu menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg platform pembayaran mudah alih itu akan dijenamakan semula sebagai S Pay, tidak lama lagi, dalam usaha ke arah rangkaian global.

Kata beliau, nama baharu itu telah dibincangkan secara teliti oleh individu dalam bidang pemasaran sebelum ia dipilih.

Pada ketika ini, terdapat lebih 100,000 pengguna berdaftar Sarawak Pay, katanya.

Jelas beliau, penggunaan S Pay secara global itu ekoran kerjasama yang dibangunkan bersama Union Pay, aplikasi pembayaran tanpa tunai negara China.

Abang Johari berkata,  sebagai permulaan, mulai bulan depan pemegang akaun Sarawak Pay akan dapat menggunakan medium pembayaran di semua negara penerima UnionPay China termasuk Singapura.

“Sebelum ini Sarawak Pay digunakan secara domestik saja. Dengan penjenamaan semula kepada S Pay, membolehkan pembayaran tunai dilakukan secara global mulai bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi dialog bersama pemimpin syarikat berkaitan kerajaan di sini, semalam.

“Kami mahu pembayaran mudah alih kami menjadi global bukan sahaja terhad kepada Sarawak saja,” kata Ketua Menteri.

“Kita juga mengambil kira pandangan pasukan pemasaran yang percaya Sarawak mampu membangunkan pembayaran tanpa tunai di mana-mana sahaja di China,” ujarnya.