KUCHING: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menyasarkan jualan kraf tangan negara sebanyak RM500 juta pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Ketua Pengarahnya Ibrahim Ismail berkata mereka tidak menyasarkan jualan lebih tinggi pada TMM 2020 kerana pelbagai faktor termasuk keadaan ekonomi semasa.

“Bagi TMM 2020, kami juga fokuskan kekuatan (jualan kraf tangan) kepada pelancong domestik yang suka membeli kraf tangan sebagai hadiah dan cenderahati.

Di sini pun ramai (pelancong domestik) orang Semenanjung yang datang dan kuasa beli mereka sebenarnya lebih tinggi,” katanya sempena Festival Kraf Borneo Sarawak 2019 di Old Court House, di sini, semalam.

Ibrahim berkata,  jualan kraf tangan seluruh negara tahun ini sudah mencapai RM370 juta setakat ini dan hampir mencapai sasaran RM500 juta.

Justeru, beliau berharap pengusaha tempatan dapat menghasilkan lebih banyak kraf tangan kecil dan mudah dibawa pelancong domestik dan aisng.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya  juga memantau rapi jualan pengusaha kraf tangan di negara ini termasuk pada Festival Kraf Borneo Sarawak 2019 dari 25 Okt hingga 3 November  di Tebingan Kuching di sini.

“Kami merekod jualan semua pengusaha kraf tangan di festival itu setiap hari dan sehingga hari ini mereka berjaya merekod jualan tunai keseluruhannya sebanyak RM300,000 dan kami sasar jumlah keseluruhan mampu mencapai sebanyak RM900,000 kepada orang ramai dan pelancong,” katanya.