KUCHING: Ketika Sarawak menyasarkan untuk menarik lima juta pelancong ke negeri ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah menyifatkan pelancongan sebagai sektor berpotensi besar dimajukan.

Untuk itu, jelas beliau, kerajaan perlu mempunyai strategi berkesan, produk yang baik dan kemudahan sokongan serta pekerja yang sangat cekap dalam bidang berkenaan untuk terus memacukan sektor itu ke hadapan.

“Kami perlu melatih mereka dengan baik supaya dapat menghadapi cabaran masa depan dengan cekap,” katanya.

Beliau  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Penasihat Industri Politeknik Metro, semalam.

Uggah sebelum itu telah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara politeknik dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Pada majlis itu beliau turut mencadangkan replika pahlawan Iban, Rentap dibina di Betong sebagai produk pelancongan baharu.