KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah telah mencadangkan agar replika wira Iban terkemuka, Rentap dibina di Betong kerana dipercayai langkah itu berupaya menjadi tarikan pelancong yang hebat.

Uggah membuat cadangan itu semasa mesyuarat Majlis Penasihat Industri Politeknik Metro Betong, semalam.

“Saya berjumpa dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, dan mencari kaedah untuk kita meneruskannya,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.

Nama sebenar Rentap ialah Libau anak Ningkan.  Rentap ialah ketua pahlawan Iban di Skrang dan Saribas.

Gelaran Rentap bermaksud penggoncang dunia diberikan kepada Libau selepas beliau berjaya memenggal kepala musuh dalam perang pertamanya.

Rentap dikatakan membenci Brooke kerana melihatnya sebagai orang luar dari barat yang berniat jahat ingin menguasai Sarawak dan menghapuskan cara hidup masyarakat tempatan waktu itu.

“Rentap telah membina bentengnya di atas Bukit Sadok. Ini strategi ketenteraan dan Rentap tahu ia akan menjadi sangat sukar bagi Rajah Charles Brooke untuk mengalahkannya di sana,” jelas beliau.

Dengan kekuatan 4,000 askar Brooke tidak dapat menawan kubu Rentap kerana dibina menggunakan kayu Tebelian keras yang sukar ditembusi peluru.

Pasukan Brooke ditimpa hujan selama lapan hari di puncak Gunung Sadok dan akhirnya memutuskan untuk berundur dalam ekspedisi yang gagal sepenuhnya.

Tentera Charles Brooke tidak berjaya menawan benteng itu dalam dua percubaan iaitu pada Jun 1857 dan pada Ogos 1858.

“Hanya dalam percubaan ketiga pada Oktober 1861 Rentap dikalahkan apabila salah seorang jeneralnya mengkhianati beliau,” jelas Uggah.