Bangunkan tanah NCR secara terancang

BAU: Taklimat Pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) penting untuk memudahkan usaha membangunkan tanah itu secara terancang.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik berkata, pemilik tanah NCR juga harus memahami proses usaha sama dengan agensi kerajaan negeri dalam memajukan tanah NCR.

Jelasnya, Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah (MANRED) sentiasa memberi taklimat dan penerangan dalam usaha mentransformasikan luar bandar.

Beliau berkata demikian dalam sesi Taklimat Pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera Bagi Kawasan Jagoi di Dewan Serbaguna kampung Bogag, Bau, pada Selasa.

Ik Pahon menambah, terdapat tiga aspek penting ditekankan iaitu kemudahan asas jalan, elektrik, air dan capaian internet dan telekomunikasi di kawasan luar bandar.

Kedua pula katanya, bagaimana hendak membangunkan tanah-tanah adat melalui pertanian dan ketiga bantuan subsidi dan input pertanian kepada penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep mencadangkan agar pemilik tanah mengusahakan tanah pertanian secara berkelompok.

Katanya, pemilik tanah boleh menjana pendapatan sama ada melalui sewaan yang dikenakan ataupun melalui keuntungan jualan.