KUCHING: Kerajaan  berharap sasaran ketibaan 30 juta pelancong dengan RM100 bilion pendapatan daripada pelancongan negara dapat diraih bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 atau VM2020 tahun hadapan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Mohamaddin Katapi, dengan wujudnya produk pelancongan berkualiti di Sarawak, termasuk penganjuran Tahun Melawat Sarawak 2019, beliau yakin sasaran lima juta pelancong masuk ke negeri ini akan dapat dicapai.

“Merujuk kepada Statistik Kedatangan Pelancong ke Sarawak yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak, dari Januari sehingga September tahun ini, seramai 3.36 juta orang pelancong dalam dan luar negara telah datang ke Sarawak dan saya yakin jumlah ini akan terus meningkat dan mencapai sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Gala Borneo Craft Textile di sini, malam tadi.

Malam Gala Borneo Craft Textile diadakan bertujuan untuk mempromosi dan memartabatkan produk kraf  tekstil Sarawak dan Sabah.

Ia diperagakan dengan kolaborasi pereka fesyen tempatan iaitu Datuk Tom Abang Saufi, Tanoti Sdn Bhd, Pua Indah Enterprise dan pereka dalaman Kraftangan Malaysia.