KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kraftangan Malaysia akan terus menyediakan program bagi membangunkan dan memperkasakan usahawan komuniti kraf di Malaysia termasuk masyarakat etnik di Sarawak dan Sabah

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya prestasi Kraftangan Malaysia berada pada tahap yang amat membanggakan.

Buktinya menurut Datuk Mohamaddin Ketapi nilai jualan kraf dari Januari sehingga September   melebihi RM370 juta daripada 5,737 usahawan kraf.

Jelasnya,  daripada jumlah itu, RM24.2 juta merupakan nilai jualan kraf bagi negeri Sarawak dan RM37.1 juta merupakan nilai jualan kraf bagi  Sabah.

“Saya melihat pencapaian jualan kraf di Sarawak dan Sabah ini sangat membanggakan dengan penglibatan bilangan usahawan kraf kedua-dua negeri seramai 3,070 orang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Gala Borneo Craft Textile di sini, malam tadi.

“Perolehan ini secara tidak langsung menyahut seruan kerajaan agar konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat diterapkan kepada semua golongan dan lapisan rakyat Malaysia,” katanya.