MUKAH: Kira-kira 130 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Mukah dan Dalat sebulat suara menyatakan penolakan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

Jurucakap KMKK Daerah Mukah dan Dalat berkata, penubuhan MPKK Persekutuan memperlihatkan dua nakhoda untuk sebuah kapal dan hal tersebut akan menimbulkan kekalutan di sesebuah kawasan dan komuniti setempat.

Jelasnya, situasi itu akan mencetuskan unsur perpecahan dalam kalangan masyarakat di kampung, rumah panjang dan kawasan taman perumahan di bandar dalam jangka masa yang panjang.

Tambahnya, pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sedia ada telah diakui amat mantap.

Malah, barisan KMKK dan JKKK telah dilantik secara berhemah di bawah Ordinan dan Peraturan Kerajaan Sarawak.

Di Miri  kelmarin Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng berkata MPKKP merupakan strategi PH untuk mengambil Sarawak pada PRN akan datang.  

“MPPKP akan membantu kita mempersiapkan pengurusan di peringkat kampung bagi memudahkan pentadbiran, terutama apabila PH mahu memenangi PRN akan datang,” kata Guan Eng yang juga Menteri Kewangan.

Beliau menjelaskan terdapat kira-kira 6,000 buah kampung di seluruh negeri akan diberi latihan untuk menguruskan komuniti dan kampung masing-masing.

Dilaporkan sekitar 1,000 MPKKP akan ditubuhkan oleh PH di Sarawak yang dijangka berkuat kuasa tahun depan.

Beliau memberitahu  kerajaan PH akan mencari dana bagi MPKKP untuk meneruskan pembangunannya dan menunaikan janji-janjinya untuk Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg turut mendedahkan muslihat MPKKP ditubuhkan  Kerajaan PH di Sarawak.

“Segalanya sudah jelas. Mereka mahu ambil segala-galanya daripada kita,” kata Abang Johari.

“Jangan biarkan mereka ambil hak kita. Oleh itu, rakyat Sarawak harus menjaga dan mempertahankan negeri ini,” tegasnya, sambil menambah bahawa Sarawak akan rugi besar jika PH memerintah negeri ini.

“Kita yang tinggal di sini. Kita tak mahu dipecahkan. Mereka mahu aset kita dan kita perlu lindunginya,” kata beliau lagi.