Tuesday, June 28, 2022

Penemuan DNA ASF di Sarawak: Pantau kemasukan produk babi

Secara Rawak

KUCHING: Pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis-premis disyaki membawa masuk babi, produk babi atau daging babi secara tidak sah akan dilakukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) serta agensi dan kementerian berkaitan.

Langkah tersebut susulan makmal Kesihatan Awam Veterinar, Bandar Baru Salak Tinggi, mengesan DNA virus African Swine Fever (ASF) dalam produk ‘canned luncheon pork’ yang diimport dari China di Sarawak pada Jumaat lepas.

“Walaupun Malaysia kini masih bebas ASF, MoA memandang serius penemuan di Sarawak itu dan mengingatkan orang awam agar tidak membeli produk babi yang berasal negara-negara yang berisiko,” kata MoA dalam kenyataan.

Kenyataan itu menjelaskan, Sarawak juga telah mengeluarkan larangan pengimportan produk berasaskan babi ke atas negara-negara yang dijangkiti ASF semalam, selepas DNA virus ASF dikesan dalam produk canned luncheon pork yang diimport dari China.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya ada pihak yang membawa masuk babi dan produk babi secara tidak sah atau diseludup,” katanya,” katanya.

Menurut MoA, setakat ini, wabak ASF telah disahkan melanda 10 negara Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara, Laos, Myanmar, Filipina, Korea Selatan dan Timor Leste.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru