SARATOK: Op Libas yang diaktifkan di dua lokasi berasingan di sini menyaksikan Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman mencatat kejayaan besar apabila berjaya merampas sejumlah rokok dan bir seludup semalam.

Dalam operasi tersebut Cawangan Risik Kompeni C Batalion 10 PGA Sri Aman menjalankan operasi sekitar jam 11 pagi di Pasar Saratok dan di sebuah rumah teres setingkat di Taman Lily, Jalan Unak, dekat sini.

Rokok dan bir seludup yang berjaya dicekup bernilai kira-kira RM1,926,660. Turut ditahan dua buah kenderaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu, Superintenden Sanudin Md. Isa memberitahu dalam serbuan pertama di pekan Saratok, sejumlah 412 karton rokok pelbagai jenis yang bernilai RM74,160.00 dirampas bersama dua buah kenderaan yang digunakan untuk menyimpan rokok tanpa cukai bernilai RM130,000.

Katanya, dalam serbuan itu seorang lelaki berusia 25 tahun yang mengaku memiliki kedua-dua kenderaan terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Dalam serbuan kedua di sebuah rumah teres di Taman Lily, pasukan PGA berjaya merampas 9,500 karton rokok dan 150 kotak beer tidak bercukai yang bernilai RM1,732,500.00.

“Barangan seludup itu disembunyikan di dalam bilik dan ruang dapur rumah tersebut,” katanya.

Pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat (IPD) Saratok, hari ini Sanudin memberitahu kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambahnya lagi, kesemua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok untuk tindakan selanjutnya.