Majlis Konvokesyen Unimas, 4,038 terima ijazah

KOTA SAMARAHAN: Naib Canselor Unimas berkata, universiti itu berazam muncul sebagai hab penyelidikan dengan menerapkan budaya tersebut dalam kalangan kakitangan akademiknya.

Profesor Datuk Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapan graduan, ibu bapa dan staf Unimas pada Majlis Konvokesyen Unimas Ke-23 semalam berkata, reputasi Unimas dalam penyelidikan dan penerbitan memberi impak yang amat ketara.

“Kami berjaya mendapatkan pelbagai penemuan dan penciptaan baharu oleh para penyelidik universiti dan diiktiraf di peringkat negeri, kebangsaan dan anatarabangsa,” katanya.

Beliau menjelaskan universiti telah memperoleh pelbagai geran penyelidikan termasuk RM12.4 juta daripada Kementerian Pendidikan, RM5.8 juta daripada pembiaya kebangsaan, dan RM216,000 daripada geran antarabangsa.

Beliau berkata, sejumlah 738 artikel jurnal berindeks telah diterbitkan.

“Kami juga telah mengkomersialkan 23 produk penyelidikan dalam tempoh tiga tahun yang lalu yang membawa pendapatan RM3.4 juta kepada universiti,” jelasnya.

 

Majlis konvokesyen dari semalam hingga esok menyaksikan 4,038 graduan menerima ijazah masing-masing.